Biasanya
kita mendengar bahawa wasiat adalah tidak dibolehkan kepada sesama ahli waris. Ini
adalah kerana ahli waris sudah pun mendapat bahagian mereka melalui pembahagian
faraid daripada harta simati. Walau bagaimanapun, terdapat pendapat yang lain
yang mengatakan bahawa wasiat adalah sah setakat satu pertiga (1/3) daripada
harta simati. Artikel ini membincangkan isu ini dari perspektif syariah dan
aplikasinya di Malaysia secara khususnya merujuk kepada Enakmen Wasiat Orang
Islam (Selangor) 1999.
Wasiat
merupakan salah satu cara pembahagian harta dalam Islam selain daripada hibah,
wakaf, dan pusaka. Secara mudahnya, wasiat bolehlah difahami sebagai hasrat
simati terhadap harta peninggalannya kepada ahli warisnya selepas kematian
pewasiat.
Ulama’
telah menggariskan dua (2) syarat utama bagi menjadikan sesuatu wasiat itu sah
dan berkuatkuasa iaitu seperti berikut:
1. Wasiat tidak melebihi daripada satu pertiga harta;
dan
2. Wasiat tidak boleh diberikan kepada para waris.
Bagi syarat wasiat tidak melebihi
daripada satu pertiga harta, ianya adalah jelas berdasarkan nas daripada hadis
Nabi s.a.w. diantaranya Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa cukuplah bagi Sa’d
bin Abi Waqqas mewasiatkan harta sebanyak satu pertiga dengan menyatakan:
“Satu pertiga dan satu pertiga itu
adalah banyak”.
Tujuan
sekatan ini adalah kerana lebih baik meninggalkan ahli waris dalam keadaan kaya
daripada membiarkan mereka dalam keadaan miskin berdasarkan maksud hadis:
“(Meninggalkan
waris dalam keadaan kaya lebih baik) Daripada meninggalkan mereka kemiskinan
sehingga meminta-minta daripada manusia”.
Bagi syarat wasiat tidak boleh
diberikan kepada para waris, sebahagian ulama’ berhujah bahawa apabila turunnya
ayat mengenai pusaka yang terkandung di dalam ayat 7, 11, 12, dan 176 daripada
surah al-Nisa’, ayat-ayat pusaka ini mengambil peranan wasiat kepada waris
menerusi kaedah penentuan langsung hak ke atas harta simati oleh Allah s.w.t.
Sebelum
turunnya ayat-ayat di atas, hukum wasiat kepada para waris adalah harus dan ini
diamalkan secara meluas sehingga ada yang beranggapan bahawa wasiat kepada ahli
waris adalah wajib berdasarkan firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Baqarah,
ayat 180 yang bermaksud:
“Telah
diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di antara kamu telah mendekati
kematian, jika ia meninggalkan harta yang banyak, supaya berwasiat untuk ibu
bapanya dan kaum kerabatnya dengan cara yang baik, sebagai kewajipan atas
orang-orang yang bertakwa.”
Hujah tentang ayat di atas telah
dinasakhkan apabila turunnya ayat-ayat mengenai pusaka dikuatkan lagi dengan
hadis daripada Abu Umamah al-Bahili:
“Sesungguhnya
Allah telah menentukan hak tiap-tiap ahli waris, maka tidak ada hak wasiat lagi
bagi seorang ahli waris.”
Walau bagaimanapun, terdapat empat
(4) pandangan yang bebeza di kalangan ulama’ berkaitan pentakrifan tentang
‘tidak ada hak wasiat bagi seorang waris’ sebagaimana berikut:
1. Mazhab Maliki, sebahagian daripada pandangan Mazhab
Syafi’i, Abu Dawud, sebahagian Mazhab Hanbali dan Mazhab Isma’iliyyah
berpandangan wasiat kepada waris adalah tidak sah sekalipun dibenarkan oleh
para waris yang lain.
Antara negara yang mengamalkan pandangan ini ialah Morokko.
2. Imam Ahmad bin Hanbal, Ibnu Jarir, Ibn Hazm,
sebahagian ulama’ Mazhab Syafi’i dan Zaydiyyah berpandangan wasiat kepada waris
adalah sah jika waris tersebut bukan waris yang menerima pusaka.
3. Imam Abu Hanifah, sebahagian
Syafi’iyyah dan Hanbaliyyah berpandangan wasiat kepada waris bergantung kepada
kebenaran waris-waris pusaka yang lain sama ada membenarkan atau tidak.
Antara negara-negara yang mengamalkan pandangan ini ialah
Tunisia, Somalia, Algeria, dan Indonesia.
4. Imam al-Hadi, al-Nasir, Abu
Talib dan Abu al-Abbas daripada Zaydiyyah dan Mazhab Imamiyyah sepakat
mengharuskan wasiat kepada waris pusaka sekiranya kurang daripada satu pertiga
harta walaupun tanpa mendapat kebenaran waris yang lain.
Antara negara-negara yang mengamalkan pandangan ini ialah
Mesir, Sudan, Syria, Emiriah Arab Bersatu, Iraq, dan Iran.
Penggubalan undang-undang wasiat di
sebahagian besar negara Islam Timur Tengah secara umumnya membenarkan wasiat
kepada waris. Wasiat kepada waris yang kurang kadar satu pertiga akan dianggap
sebagai wasiat sunat dan boleh dilaksanakan tanpa memerlukan kebenaran waris
yang lain. Manakala wasiat yang melebihi daripada satu pertiga harta adalah sah
apabila mendapat kebenaran para waris yang lain.
Peruntukan
yang membenarkan wasiat kepada waris di negara yang bermazhab Sunni adalah
merupakan satu bentuk pembaharuan pandangan fiqh di dalam undang-undang wasiat.
Ia bukan sahaja telah mengambil pandangan daripada Mazhab Syi’ah Ithna Asyariyyah
malah perubahan ini merupakan kesan pertimbangan sosial dan ijtihad semasa di
dalam hukum Syarak bagi menjamin kebajikan yang maksimum kepada waris terdekat.
Manakala
situasi di Malaysia, Seksyen 11(2) Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor)
1999 memperuntukkan bahawa seseorang boleh menentukan bahagian masing-masing
warisnya dari harta pusaka dan sekiranya penentuan tersebut melebihi daripada
bahagian pusaka, maka ia akan dianggap sebagai “wasiat”.
Peruntukan
seksyen 11(2) ini adalah tertakluk kepada seksyen 26(2) iaitu sesuatu wasiat
itu hendaklah tidak melebihi daripada kadar satu pertiga melainkan kebenaran
semua waris diperlukan.
Di
sini, penggubal undang-undang hanya menyampaikan maksud tersirat (implied
meaning) menerusi peruntukan seksyen 11(2) dan 26(2) bahawa wasiat kepada
waris yang kurang daripada satu pertiga tidak perlu mendapat kebenaran daripada
waris yang lain dan wasiat tersebut adalah sah dan boleh dilaksanakan.
Manakala di negeri-negeri lain di
Malaysia, peruntukan wasiat masih berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama
masing-masing yang terlalu umum. Pemakaian undang-undang wasiat di
negeri-negeri tersebut berdasarkan bidang kuasa mal Mahkamah Tinggi Syariah.
Justeru, rujukan berhubung wasiat adalah berdasarkan pandangan fiqh yang masih
belum digubal di dalam bentuk peruntukan undang-undang. Kesannya, hukum wasiat
kepada waris adalah tidak dibenarkan melainkan mendapat persetujuan ahli waris
yang lain.
Sebagai
contoh di Terengganu, fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama
Negeri Terengganu pada tahun 1987 menyatakan bahawa wasiat kepada waris yang
telah menerima harta pusaka adalah tidak sah melainkan dengan persetujuan
waris-waris yang berhak menerima pusaka itu.
Jelaslah
bahawa terdapat perbezaan amalan berkaitan wasiat kepada waris di antara
negeri-negeri di Malaysia.
Kesimpulannya, orang-orang Islam di
Selangor bebas melakukan wasiat kepada ahli waris selagi tidak melebihi kadar
satu pertiga. Kewujudan pembaharuan undang-undang ini, mengikut pandangan penulis,
adalah positif bagi mengharmonikan proses pembahagian harta kepada waris dengan
lebih saksama serta memudahkan lagi proses pentadbiran pembahagian harta
peninggalan simati.
Sumber:
http://mizico.blogspot.com/2011/04/wasiat-kepada-waris-situasi-di-malaysia.html
Messrs
Termizi & Co., Advocates & Solicitors,
No.
29-2, Jalan 3/4C, Desa Melawati,
53100
Ulu Klang, Kuala Lumpur.
Tel:
03-4105 5210 (hunting line), Fax: 03-4105 5211,
Web:
www.mizico.com, E-mail: termizico@gmail.com
Tuesday, April 12, 2011
No comments:
Post a Comment