Bendera
Malaysia pada asalnya ialah bendera Persekutuan Tanah Melayu yang mula
digunakan dengan rasminya pada 26 Mei 1950. Bendera ini telah diilhamkan
melalui satu pertandingan khas mencipta bendera Persekutuan Tanah Melayu.
Hasil ciptaan seorang arkitek kerajaan di Johor, Mohamad Hamzah
telah terpilih tetapi dibuat beberapa perubahan pada reka bentuk asalnya.
Antara perubahan yang dibuat ialah menukar warna putih pada bulan dan bintang
kepada warna kuning untuk melambangkan warna diraja bagi raja-raja Melayu dan
juga menambah bucu bintang kepada 11 untuk mengambil kira jumlah negeri yang
ada dalam Persekutuan Tanah Melayu.
Dengan penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, bendera
tersebut telah diubah suai sewajarnya menjadi bendera Malaysia.
Hanya pada tahun 1995 barulah ada suatu inisiatif untuk memberi
nama khas atau nama rasmi kepadanya. Idea menamakan bendera negara adalah ilham
Datuk Hashim Mat Dris, seorang bekas pegawai kerajaan yang dikemukakan kepada
Jabatan Perdana Menteri.
Menurut beliau, setelah 45 tahun bendera negara berkibar dengan
megah tetapi tanpa satu nama yang boleh dibanggakan, sudah tiba masanya bendera
Malaysia diberi satu nama rasmi. Nama ini patut diberikan sebagaimana
bendera-bendera negara tertentu memilikinya seperti bendera kebangsaan
Indonesia digelar Sang Saka Merah Putih, United Kingdom – Union Jack, Amerika
Syarikat – Star Spangled Banner dan bendera Perancis digelar Tricolor.
Hashim berpendapat nama yang sesuai untuk bendera negara ialah
‘Si Tuah’ sempena nama Hang Tuah, pahlawan Melayu yang berani, gagah perkasa
dan setia kepada raja.
Cadangan Hashim itu kemudiannya dibawa kepada Tun Dr. Mahathir
Mohamad, Perdana Menteri ketika itu. Pada 11 Julai 1995 Tun Dr. Mahathir telah
bersetuju supaya diadakan satu peraduan bagi memilih nama yang sesuai untuk
bendera Malaysia.
Penyertaan bagi peraduan tersebut dihadkan kepada pihak-pihak
tertentu sahaja iaitu kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan.
Berikutan itu, Jawatankuasa Induk Peraduan Mencipta Nama Bendera Malaysia
ditubuhkan. Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara,
Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid dan dianggotai oleh wakil daripada beberapa
kementerian dan agensi yang berkenaan.
Dalam mesyuarat pada 1 April 1996, jawatankuasa induk peraduan
mencipta nama bendera Malaysia telah bersetuju bahawa pemilihan cadangan nama
bendera Malaysia tidak perlu dibuat melalui peraduan tetapi memadai dipilih
daripada senarai nama yang dikemukakan oleh ahli-ahli jawatankuasa yang terdiri
daripada wakil-wakil kementerian dan agensi yang berkaitan.
Ini turut dipersetujui oleh Perdana Menteri ketika itu.
Berikutan itu, nama jawatankuasa ditukar kepada Jawatankuasa Induk Menamakan
Bendera Malaysia.
Jawatankuasa itu telah menimbang 75 cadangan nama berserta
huraiannya. Setelah penelitian dibuat, tiga cadangan nama dipilih iaitu ‘Setia
Perkasa’, ‘Seri Setia Perkasa’ dan ‘Seri Setia Negara’. Cadangan nama-nama
tersebut dipilih kerana ia didapati sesuai sebagai lambang sejarah dan
perjuangan negara serta mampu memupuk semangat jitu di kalangan rakyat untuk
terus maju membina sebuah negara yang aman makmur.
Bagaimanapun, apabila dikemukakan untuk mendapat persetujuan
jemaah menteri pada 11 September 1996, nama-nama tersebut gagal memikat hati
ahli-ahli mesyuarat Kabinet yang berpandangan bahawa ia tidak benar-benar
melambangkan sifat dan semangat yang diwakili oleh bendera Malaysia itu
sendiri.
Jemaah menteri kemudiannya meminta supaya cadangan-cadangan baru
dikemukakan. Berikutan keputusan itu, Jawatankuasa Induk Menamakan Bendera
Malaysia bersidang semula untuk mencari cadangan nama-nama baru untuk bendera Malaysia.
Dalam mesyuarat pada 2 Jun 1997 yang dipengerusikan oleh Tan Sri
Abdul Halim Ali, Ketua Setiausaha Negara pada waktu itu sebanyak 28 cadangan
nama dipertimbangkan. Setelah membuat penelitian, mesyuarat bersetuju memilih
tiga nama mengikut keutamaan seperti berikut: ‘Jalur Gemilang’, ‘Jalur Nusa
Gemilang’ dan ‘Jalur Sinar Gemilang’.
Apabila ketiga-tiga cadangan nama tersebut dibentangkan pada 9
Julai 1997, jemaah menteri telah bersetuju supaya bendera Malaysia diberi nama
‘Jalur Gemilang’. Perisytiharan Jalur Gemilang sebagai nama bendera Malaysia
telah dibuat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur
semasa acara Di Ambang Merdeka sempena perayaan Hari Kebangsaan Malaysia pada
30 Ogos 1997, jam 11.58 malam.
Pada tahun 2007 ini genaplah 10 tahun nama “Jalur Gemilang”
tersemat pada bendera Malaysia. Nama tersebut telah dicadangkan oleh Jabatan
Muzium dan Antikuiti, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan
(sekarang Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan).
Secara ringkasnya, perkataan ‘jalur’ dalam nama Jalur Gemilang
melambangkan jalur pada bendera yang menggambarkan satu laluan yang lurus, hala
tuju serta arah yang sama yang diikuti oleh rakyat negara ini manakala
‘gemilang’ pula melambangkan keadaan yang bercahaya, terang-benderang dan
cemerlang.
Oleh itu, Jalur Gemilang adalah lambang aspirasi rakyat Malaysia
dalam mengharungi kemajuan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi
membina sebuah negara yang cemerlang gemilang dan terbilang.
Sumber:
http://www.pelikbinajaib.com/informasi/asal-usul-bendera-malaysia-mari-mengkaji-sejarah-jalur-gemilang
No comments:
Post a Comment