Sunday, 16 December 2012

pbs


Tuesday, November 27, 2012

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)

Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) adalah satu sistem pentaksiran yang diperkenalkan dalam transformasi pendidikan. SPPK merupakan transformasi daripada sistem yang menumpukan kepada ujian pencapaian dan peperiksaan(berorientasi peperiksaan) kepada sistem yang lebih holistik. Tujuannya ialah untuk menyediakan satu set indikator untuk menilai potensi murid dan kesediaan untuk belajar, selain menguji penguasaan dan pencapaian. 

Pentaksiran adalah komponen penting dalam pendidikan kerana ia memberi maklumat mengenai perkembangan murid kepada guru, ibubapa dan murid itu sendiri. Hasil pentaksiran boleh membantu guru menilai kaedah pengajaran dan aktiviti yang dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. 

Kementerian prihatin terhadap dakwaan bahawa sistem pendidikan Negara terlalu berpaksikan peperiksaan. Justeru,  Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 17 Disember 2010 telah bersetuju supaya Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dilaksanakan sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Pendidikan.
 
PBS merupakan satu usaha untuk membangunkan modal insan secara holistik melalui penekanan terhadap penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika serta moral yang tinggi seperti tercatat di dalam Pelan Induk Pembangunan  Pendidikan (PIPP), Pelan Integriti Nasional (PIN) dan seperti yang dihasratkan dalam Misi Nasional.

PBS mula dilaksanakan di Sekolah Rendah pada tahun 2011 dan diperkenalkan di peringkat Sekolah Menengah pada tahun 2012. Justeru pada tahun 2016 murid-murid sekolah rendah akan menduduki UPSR yang telah ditambahbaik. Pada tahun 2014 pula PMR akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bentuk PBS.


1
APAKAH PBS?

PBS merupakan satu pentaksiran yang bersifat holistik yang mampu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

PBS dioptimumkan untuk mentaksir bidang akademik dan bukan akademik. PBS memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif (pentaksiran yang dijalankan semasa proses pembelajaran berlangsung) dan sumatif (pentaksiran yang dijalankan di akhir satu unit pembelaran) yang berasaskan sekolah .

Komponen PBS dalam sistem pentaksiran kebangsaan merangkumi:
v Pentaksiran Sekolah
v Pentaksiran Pusat
v Pentaksiran Aktiviti JasmaniSukan dan Kokurikulum
v Pentaksiran Psikometrik

Pentaksiran Sekolah (PS) dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah di sekolah. Contoh instrumen pentaksiran yang boleh digunakan ialah lembaran kerja,pemerhatian, kuiz, senarai semak, laporan tugasan, tugasan rumah dan ujian.

Pentaksiran Pusat (PP) pula ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan dan skema pemarkahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran.

Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dilaksanakan di peringkat sekolah dan ditadbir, direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam aktiviti jasmani dan kesihatan, sukan dan permainan, aktiviti kokurikulum dan aktiviti ekstrakurikulum (contohnya penglibatan sebagai ahli kumpulan marhaban yang dianjurkan oleh JK Surau tempat murid tinggal dan aktiviti bermanfaat lain yang dianjurkan oleh pihak luar selain sekolah).

Pentaksiran Pkisometrik pula dilaksanakan di peringkat sekolah dan/atau pusat untuk mengukur kebolehan (innate ability and acquired ability) semulajadi  murid, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid. Pentaksiran ini tidak berasaskan kurikulum.

2.
APAKAH OBJEKTIF PBS?

Objektif pelaksanaan PBS adalah untuk:
·         mendapatkan gambaran secara keseluruhan tentang potensi individu
·         memantau pertumbuhan dan membantu meningkatkan potensi individu
·         membuat pelaporan bermakna tentang pembelajaran individu

Kesimpulannya PBS akan memastikan murid yang melalui sistem pendidikan negara mencapai taraf antarabangsa dalam bidang ilmu pengetahuan, kemahiran dan kecekapan.
.
3
SUBJEK APAKAH YANG DINILAI MELALUI PBS?

Semua subjek yang diajar di sekolah rendah dan menengah akan dinilai melalui PBS.

4
BAGAIMANAKAH GURU MELAKSANAKAN PBS?

Bagi memastikan kelicinan pelaksanaan PBS, guru seharusnya menggunakan Dokumen Standard Kurikulum yang mengandungi perkara-perkara yang patut dipelajari dan perlu disampaikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran manakala Dokumen Standard Prestasi adalah rujukan utama untuk mentaksir dan mengukur penguasaan murid.

Guru diberi pengiktirafan dan autonomi untuk menjalankan pentaksiran secara formatif semasa pengajaran dan pembelajaran ataupun secara sumatif diakhir unit pembelajaran atau pun di akhir tahun.

Untuk mentaksir guru tidak semestinya menyediakan lembaran kerja bagi setiap kemahiran yang hendak dinilai. Evidens atau bukti penguasaan murid boleh diperolehi melalui pemerhatian, jawapan lisan, latihan dalam buku latihan atau buku kerja dan juga kerja rumah. PBS tidak membataskan kreativiti guru yang sudah tentunya lebih mengenali murid mereka.

5
APAKAH KELEBIHAN PBS?

Dalam usaha penambahbaikan kepada pentaksiran sekolah sedia ada, Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan, iaitu menggunakan Standard Prestasi untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan (growth) pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid. Ia merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum.

Pentaksiran Rujukan Standard tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan (growth) murid dalam pembelajaran dengan merujuk kepada pernyataan standard.

Murid-murid dinilai secara adil dan saksama sebagai individu dalam masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain. Pihak sekolah mampu mendapatkan maklum balas yang lengkap dalam bentuk data kualitatif dan kuantitatif yang merangkumi segala aspek tentang diri seseorang murid itu bagi membolehkan pihak yang bertanggung jawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai insan yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing.

6
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN BAND?

Dalam PBS pencapaian murid dilaporkan berdasarkan band dan bukan lagi sebagai skor mentah seperti  81% atau pun gred A,B,C,D.

BAND
STANDARD
6
Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Mithali
5
Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Terpuji
4
Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab
3
Tahu, Faham dan Boleh Buat
2
Tahu dan Faham
1
Tahu

Di Band 1, murid tahu perkara asas, atau boleh melakukan kemahiran asas atau memberi maklum balas terhadap perkara yang asas contohnya bagi Matematik murid di Band 1 mampu mengenal angka 1,2,3 ....

Di Band 2, murid menunjukkan kefahaman untuk menukar bentuk komunikasi atau menterjemah serta menjelaskan apa yang telah dipelajari contohnya murid tahu dan faham nilai angka seperti 24 lebih banyak dari 10 dan 55 kg lebih berat daripada 48 kg.

Di Band 3, murid boleh menggunakan pengetahuan untuk melaksanakan sesuatu kemahiran pada suatu situasi. Bagi matematik Band 3 menunjukkan murid telah menguasai operasi mudah tambah, tolak, darab dan bahagi.

Murid yang telah mencapai Band 3 dianggap telah menguasai kemahiran asas dalam subjek tersebut.

Di Band 4, murid melaksanakan sesuatu kemahiran dengan beradab, seperti tertib atau melaksanakan sesuatu mengikut prosedur dan secara sistematik seperti menyelesaikan operasi tolak dengan mendahulukan rumah ’sa’.

Di Band 5, murid melaksanakan sesuatu kemahiran dengan beradab pada situasi baru, dengan mengikut prosedur atau secara sistematik, serta tekal dan bersikap positif. Bagi matematik murid yang mencapai Band 5 mampu menyelesaikan masalah seperti Berapa biji telurkah yang boleh dibeli oleh Ali dengan wang RM10.00 jika sebiji telur berharga 20 sen?

Dan akhir sekali, di Band 6,  murid mampu menzahirkan idea yang kreatif dan inovatif, mempunyai keupayaan membuat keputusan untuk mengadaptasi permintaan serta cabaran dalam kehidupan seharian serta boleh berbicara untuk mendapatkan dan menyampaikan maklumat menggunakan ayat yang sesuai secara bertatasusila dan menjadi contoh secara tekal. Di Band 6 murid boleh membuat keputusan dalam masalah seperti membuat pilihan di antara kemeja biru yang berharga RM30.00 tetapi diberi diskaun 50% dan baju tawaran terbaik (best buy) yang sama kualiti dengan harga RM20.00.

Band 3 boleh disamatarafkan dengan gred lulus. Justeru guru perlu merangka aktiviti pemulihan bagi membantu murid mencapai Band minima 3.

PBS memberi autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran berdasarkan kesediaan murid. PBS membantu guru dan murid mengenalpasti kekuatan dan kelemahan murid semasa pengajaran dan pembelajaran berjalan. Sehubungan dengan itu guru bolehlah menyesuaikan aktiviti pengayaan atau pemulihan mengikut keperluan murid.

Wajar diingat bahawa PBS tidak membandingkan murid dengan murid lain. Sebaliknya kejayaan murid diukur bersandarkan Standard yang harus dicapai di sesuatu tahap pembelajaran. Adalah diharapkan dengan cara ini tekanan ke atas murid dan guru dapat dikurangkan kerana murid tidak dibandingkan dengan kumpulan yang lebih cerdas atau terpaksa menunggu rakan lain yang belum menguasai sepenuhnya sesuatu kemahiran yang diajar untuk maju. Sekiranya dilaksanakan dengan baik dan terancang PBS bakal  mewujudkan persekitaran yang harmonis dalam kelas untuk untuk perkembangan individu.

7
ADAKAH PBS AKAN MENAMBAH BEBAN TUGAS GURU?

Sekiranya diurus dan dilaksanakan dengan bijak, guru akan mendapati bahawa PBS memberi banyak manfaat dan mampu mengurangkan beban tugas guru.

Bagi membantu guru melaksanakan PBS, dua aplikasi ICT telah dibangunkan untuk memastikan guru tidak dibebani dengan tugas-tugas perkeranian. SPPBS (Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasakan Sekolah) and PAJSK (Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum) dibangunkan bagi merekod, menyimpan dan melapor perkembangan murid. Data yang disimpan boleh dicetak sebagai laporan apabila diperlukan.


8
BOLEHKAH GURU DIPERCAYAI UNTUK MENILAI MURID SENDIRI?

Kebolehpercayaan kepada pentaksiran yang dijalankan oleh guru ditingkatkan melalui penjaminan kualiti. Semua hasil kerja murid dijadikan evidens yang perlu difailkan sebagai bukti yang menunjukkan murid telah menguasai kemahiran yang diajar.

Penjaminan kualiti bagi pelaksanaan PBS dapat dicapai melalui:
a.            Pementoran
b.            Penyelarasan
c.            Pemantauan
d.            Pengesanan

Pementoran adalah proses membantu, memudah cara dan membimbing guru untuk melaksanakan PBS mengikut prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan dan boleh dilaksanakan secara formal dan tidak formal.

Penyelarasan adalah proses penyeragaman skor dengan merujuk kepada Standard Prestasi yang disediakan bagi memastikan skor yang diberikan oleh guru adalah sah dan boleh dipercayai.

Pemantauan pula ialah proses memastikan pelaksanaan PBS mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan arahan pelaksanaan PBS dipatuhi dan mengelakkan penyelewengan dan ketidakakuran. Pemantau Dalaman yang dilantik di peringkat sekolah dan Pemantau Luaran yang terdiri daripada pegawai PPD, JPN dan KPM terlibat dalam proses ini.

Pengesanan pula adalah proses memastikan kekuatan dan keberkesanan instrumen pentaksiran yang digunakan bagi meningkatkan kesahan, kebolehpercayaan dan kebolehtadbiran instrumen pentaksiran. Pengesanan turut melibatkan guru dan pegawai KPM.

Penjaminan Kualiti oleh guru mata pelajaran, Guru Cemerlang, Ketua Panitia, Ketua Bidang, Guru Besar, pegawai Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia memastikan PBS dilaksanakan dengan baik seperti dirancang. Setiap individu yang terlibat dalam pembangunan atau pelaksanaan sistem pentaksiran pendidikan adalah bertanggungjawab menjamin kualiti dan mutu pentaksiran yang dikendalikan. Kualiti hendaklah menjadi tumpuan utama dalam semua aspek dan peringkat pentaksiran. 


9
ADAKAH PBS SATU KONSEP BARU?

PBS bukan konsep baru. Soalan, kuiz, latihan dalam kelas, kerja rumah dan projek adalah kaedah yang sering diguna pakai oleh guru untuk mengukur penguasaan murid dalam setiap kemahiran yang diajar.


10
PENUTUP

Pentaksiran pendidikan di Malaysia bertujuan mendapatkan maklumat  tentang prestasi muridbagi memperkembangkan sepenuhnya potensi setiap individu sebagai modal insan yang harmonis dan seimbang selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Apa yang jelas, proses penambahbaikan yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran menerusi PBS ini memberi gambaran bahawa sistem peperiksaan berpusat seperti UPSR dan PMR bukan lagi bentuk penilaian tunggal dalam mengukur pencapaian murid menguasai pembelajaran. Lebih dari itu, ia diharap mampu melahirkan murid yang lebih cemerlang dalam semua aspek kerana pentaksirannya dilakukan daripada peringkat awal dan bukan sahaja terhad kepada bidang akademik tetapi juga merangkumi sahsiah, sukan dan kokurikulum.

Murid-murid dinilai secara adil dan saksama sebagai individu dalam masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain. Pihak sekolah mampu mendapatkan maklum balas yang lengkap dalam bentuk data kualitatif dan kuantitatif yang merangkumi segala aspek tentang diri seseorang murid itu bagi membolehkan pihak yang bertanggung jawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai insan yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk menyumbang .

Pentaksiran yang berkualiti akan menghasilkan maklumat yang tepat dan menunjukkan keadaan sebenar tentang tahap pembelajaran murid. Maklumat yang tepat boleh membantu pembuat dan penentu dasar melakukan perubahan bagi tujuan meningkatkan pengajaran dan pembelajaran. 



LEMBAGA PEPERIKSAAN
KEMENTERIAN PELAJARAN

No comments:

Post a Comment