SEMBANG 'BUS STAND'

HANYA SEKADAR SEMBANG SEMASA MENUNGGU BAS SAHAJA


13.10.2013
Salam sejahtera.

 Izinkan saya menyentuh tentang pertembungan kebudayaan antara masyarakat Melayu dengan kebudayaan asing sehingga membangunkan Tamadun Melayu Nusantara.

Mengikut sejarah Tanah Melayu, kepercayaan penduduk di Tanah Melayu pada peringkat awal ialah kepercayaan animisme iaitu kepercayaan setiap benda mempunyai roh. Kemudian muncul pula pengaruh Hindu-Buddha. Inilah yang menjadi pegangan kepada penduduk. Ini jelas dapat dilihat dengan penemuan candi di Lembah Bujang dan beberapa tempat lain di Tanah Melayu.

Kedatangan pedagang-pedagang ke Tanah Melayu khususnya ke Melaka telah membawa angin perubahan kepada penduduk Tanah Melayu. Pedagang Islam telah membawa pengaruh Islam. Ia membawa perubahan besar dalam aspek kepercayaan, politik, ekonomi dan sosial masyarakat Melayu sebelum kedatangan Barat. Kehadiran Islam telah mengatasi pengaruh tradisi politik, ekonomi dan sosial Hindu-Buddha yang sebelumnya telah bertapak dalam masyarakat tempatan.

Buku Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu tulisan Syed Muhammad Naquib al-Attas mengatakan bahawa kedatangan Islam ke rantau Alam Melayu ini haruslah dianggap sebagai zaman baru dalam pensejarahan rantau ini. Islam dapat diterima dengan mudah dan menyerap ke seluruh masyarakat Melayu. Orang Melayu mula membesar dan menjalani kehidupan dengan kebudayaan yang berlandaskan Islam. 

Pada fasa dan peringkat kepercayaan ini masyarakat Melayu telah menjalani proses perubahan dan peralihan untuk membina tamadun yang hebat di nusantara ini. Perubahan dan peralihan ini bukan sahaja diterima oleh pemerintah atau pemimpin tetapi juga diterima oleh rakyat jelata

Jika disingkap, kebijaksanaan pemerintah Melaka telah membuka pintu kepada pedagang asing datang berniaga. Kedatangan pedagang-pedagang yang dari segenap pelusok dunia pada waktu itu telah membawa pelbagai kebudayaan dan cara hidup. Penduduk setempat atau orang Melayu mempunyai banyak pilihan samada memilih atau menolak kebudayaan yang dibawa oleh pedagang-pedagang ini. Percampuran kebudayaan ini akhirnya menjadi pegangan orang Melayu hingga kini. Ia secara tidak langsung telah mendewasakan orang Melayu itu sendiri. Percampuran ini telah menjadikan orang Melayu sebagai bangsa yang mempunyai identiti yang tersendiri

Pada tahun 1511 Melaka telah jatuh ke tangan Portugis tetapi kecemerlangan kebudayaan masyarakat Melayu diteruskan oleh kerajaan lain seperti Johor-Riau, Kelantan, Terengganu dan Kedah. Undang-undang yang digunakan berlandaskan dan bertunjangkan Islam. Dalam bidang sosial pengaruh Islam seperti pendidikan, bahasa, kesenian dan kesusasteraan adalah mengikut syariat Islam. Dalam erti kata lain  meskipun kuasa Barat telah datang ke Tanah Melayu, orang Melayu tetap mengamalkan norma-norma hidup seperti yang mereka jalani sebelum kedatangan Barat. 

Oleh itu dapatlah disimpulkan bahawa pertembungan dan percampuran kebudayaan dalam masyarakat Melayu telah menjadikan Tamadun Melayu itu menjadi begitu kompleks, teratur dan hebat di Nusantara ini.

Persoalannya, dapatkah ia dikekalkan?


Terima kasih.

...............................................

04.10.2013
Salam sejahtera.

Pembangunan sahsiah adalah satu proses perubahan yang berlaku terhadap seseorang individu. Ia juga adalah satu usaha untuk membangun dan mengembangkankeperibadian seseorang. Pembangunan dan pengembangan ini selalunya dikaitkan dengan proses penambahbaikan. Mengikut konteks sekolah atau institusi pendidikan, ia terbahagi kepada dua watak utama. Watak-watak tersebut ialah guru dan murid atau pun dalam erti kata lain pengajar dan pelajar. Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang telah dilahirkan adalah amat jelas untuk kita menzahirkan apa yang diingini oleh setiap individu masyarakat.

Proses pembangunan sahsiah murid terbahagi kepada dua faktor utama. Faktor tersebut ialah keturunan dan persekitaran. Positif atau negatif pengembangan sahsiah dan peribadi murid, dua faktor inilah yang akan menjadi bahan rujukan. Keturunan selalu dikaitkan dengan kecergasan fizikal, kecerdasan mental, penyakit, bentuk tubuh badan dan perlakuan. Faktor persekitaran pula selalu dirujuk kepada keadaan masyarakat di sekeliling murid tersebut. Peranan masyarakat adalah besar di mana ia boleh mengubah perlakuan dan sikap seseorang. Selain masyarakat, pengaruh rakan sebaya, kebudayaan dan media massa juga menentukan hala tuju seseorang.

Guru adalah insan yang bertanggungjawab besar dalam membentuk pembangunan sahsiah. Guru bukan sahaja sebagai tenaga pengajar, pemberi dan penyebar maklumat, tetapi guru juga adalah role model kepada setiap ahli masyarakat. Guru mesti memberikan contoh yang terbaik untuk dinilai dan diikuti bukan sahaja oleh murid tetapi oleh seluruh masyarakat.

Penerapan nilai jasmani, emosi, rohani dan intelektual sangat penting. Kesabaran guru yang sering menerima aduan dan permasalahan amat dituntut. Masyarakat menganggap guru adalah rakan terbaik untuk menyelesaikan segala kerumitan yang terjadi. Guru mesti memainkan peranan sebagai kaunselor, fasilitator atau penunjuk cara yang berkesan. Setiap apa yang disampaikan oleh guru mestilah selari dengan kehendak, peraturan dan undang-undang negara supaya profesion perguruan lebih dipandang tinggi.

Terima kasih.


No comments:

Post a Comment