Wednesday, 24 July 2013

Khasiat buah kurma
KURMA dan puasa sememangnya tidak dapat dipisahkan, sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W lagi kurma telah menjadi amalan ketika berbuka puasa.
Bahkan berbuka puasa dengan kurma juga kamu beroleh pahala sunah.
Namun tahukah kamu bahawa buah kurma juga amat baik untuk kesihatan? Tetapi apakah khasiatnya?
Jadi, sempena bulan Ramadan ini, .com ingin berkongsi serba sedikit fakta-fakta menarik mengenai buah kurma. - AZRUL
Kurma mempunyai kandungan tenaga yang tinggi serta dapat mengembalikan paras gula yang rendah dalam darah kepada paras normal.
Penghidap kencing manis boleh mengambil kurma sebagai makanan pertama untuk berbuka puasa.
Sebiji kurma sudah cukup untuk memberi kamu tenaga, serat, vitamin dan mineral serta amat baik bagi mereka yang berdiet.
Kurma juga mampu mengatasi masalah sembelit dan gangguan usus kronik.
100 gram kurma segar mengandungi sumber vitamin C dan membekalkan 230 kalori untuk tenaga (960 kJ).
Kurma juga dapat mengelak penyakit barah, merawat buah pinggang, melancarkan perjalanan darah, dan mencuci hati.
Bagi mereka yang menghidapi sakit kerongkong, selesema, demam dan masalah insomnia dapat diubati dengan memakan buah kurma.
Ini bermakna, makan sebiji kurma dengan segelas air sebenarnya sudah mampu memberi tenaga secukupnya.
Justeru, .com menasihatkan pembaca untuk mengamalkan buka puasa dengan kurma.
Kita bukan sahaja mendapat pahala Sunah, tetapi juga mendapat manfaat dari segi kesihatan.

Thursday, 18 July 2013

kurma 2

Khasiat kurma sepanjang tahun

Buah kurma amat popular sebagai satu makanan untuk berbuka puasa dalam bulan Ramadan ini. Berbuka puasa dengan makan buah kurma satu sunah Nabi SAW dan amat digalakkan juga memakannya ketika sahur.
Kurma atau tamar adalah sejenis tumbuhan yang berbuah dan boleh dimakan sama ada ketika sudah masak atau masih mentah. Kurma dikatakan tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan dan sebahagian daripadanya sudah terbukti secara saintifik. Malah, dalam al-Quran saja terdapat 20 ayat menyebut mengenai kurma. Baginda Rasulullah juga sendiri beberapa kali menyebut perihal kurma dan khasiatnya, serta amat sinonim dengan kisah sirah baginda.

Pohon kurma adalah satu daripada pohon di dalam syurga sebagaimana firman Allah dalam Surah Ar Rahman, ayat 68: “Di dalam keduanya ada (macam-macam) buah-buahan dari kurma serta delima.” Iraq adalah negara pengeluar kurma terbesar di dunia diikuti Arab Saudi dan negara utara Afrika. Setiap tahun dua juta tan kurma dihasilkan dan terdapat dua ribu jenis kurma.
Pohon kurma banyak digunakan oleh masyarakat di Timur Tengah untuk pelbagai urusan hidup mereka. Di dalam al-Quran pohon kurma diumpamakan sebagai perumpamaan orang beriman dengan kukuh akarnya seperti kalimat yang baik, sebagaimana firman Allah dalam Surah Ibrahim, ayat 24-25: “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah sudah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan pucuknya (menjulang) ke langit, pohon itu memberi buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya.” Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.

Imam Al-Qurtubi menyebut bahawa Al-Ghaznawi meriwayatkan sebuah hadis Nabi, baginda bersabda: “Perumpamaan orang beriman itu seperti pohon kurma, jika kamu berteman dengannya maka ia akan memberi manfaat untukmu, jika engkau duduk dengannya ia akan memberi manfaat untukmu dan jika engkau bermusyawarah dengannya ia akan memberikan manfaat untukmu. Seperti pohon kurma, semua yang ada pada dirinya bermanfaat.” Buah kurma pula sangat tinggi khasiatnya dari segi kesihatan. Ia mempunyai kandungan glukosa tinggi dan amat baik untuk memulihkan tenaga yang hilang selepas seharian berpuasa apabila dimakan ketika berbuka. Kandungan seratnya tinggi amat baik untuk penghadaman yang baik dan mencegah masalah sembelit.

Ia juga mengandungi antioksidan yang sangat tinggi dinamakan sebagai ‘phenol’ yang baik untuk mencegah kanser dan pelbagai penyakit kronik jika diamalkan selalu.
Persatuan Kanser Amerika mencadangkan pemakanan yang tinggi dengan serat sehingga 25 hingga 35 gram setiap hari untuk mencegah kanser usus dan ini boleh dicapai dengan makan kurma yang mengandungi kandungan serat yang amat tinggi.

Serat boleh larut tinggi Kurma mengandungi kandungan serat boleh larut yang tinggi dan ia juga amat baik mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung koronari.
Di dalam 100 gram buah kurma mengandungi 20 gram air, 2 gram protein, 5 gram lemak, 75 gram glukosa. Ia juga mengandungi pelbagai vitamin dan garam mineral seperti vitamin A, vitamin C, vitamin B kompleks, potassium, zat besi, sulfur, magnesium, kalsium, kuprum, fosforus dan sebagainya.

Kandungan mineral yang tinggi dalam kurma amat baik untuk membantu menguatkan tulang dan sendi. Ia juga boleh mencegah masalah osteoporosis atau reput tulang yang biasa berlaku kepada warga emas.

Kurma juga mempunyai khasiat kesihatan untuk ibu mengandung dan bakal melahirkan anak dengan membekalkan tenaga segera di samping pelbagai khasiat zat makanan.

Kandungan zat besi yang tinggi dalam buah kurma membantu mencegah masalah kekurangan sel darah merah. Dengan garam potassium di dalamnya yang tinggi, kurma boleh mengurangkan risiko mendapat angin ahmar. Dalam satu kajian di University of Minnesota, kurma boleh membantu mengawal tekanan darah tinggi dengan lebih baik kerana kandungan potassiumnya selain mengandungi vitamin B3 atau Niasin yang boleh membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah.

Kurma tidak akan menyebabkan masalah kegemukan walaupun kandungan glukosa yang tinggi kerana kandungan seratnya yang tinggi juga. Tetapi, ia boleh membantu seseorang yang kurus kering untuk menambahkan berat badan jika dimakan selalu kerana akan membantu menambahkan saiz otot dan kekuatan otot.

Di dalam al-Quran kurma atau An Nakhlah disebut sehingga dua puluh kali yang membuktikan kepentingannya sebagai makanan, kesihatan, kebaikan dan harta. Didalam surah Al-An’am, ayat 99 firman Allah yang bermaksud: “Dan dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuhan yang menghijau, kami keluarkan daripada tanaman yang menghijau itu buah yang banyak dan daripada mayang kurma mengurai tangkai yang berjurai-jurai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikan buahnya di waktu pohonnya berbuah, dan (perhatikanlah pula) apabila ia masak. Sesungguhnya pada yang demikian itu tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang yang beriman.” Biji kurma juga digunakan untuk membuat minyak biji kurma dan hampas biji kurma digunakan sebagai makanan haiwan ternakan.

Kita seharusnya terus makan buah kurma sepanjang tahun dan bukan hanya sewaktu Ramadan. Amalkan makan buah kurma setiap pagi sebelum sarapan untuk mendapatkan tenaga segera pada waktu pagi dan juga membekalkan pelbagai vitamin dan mineral untuk keperluan harian kita. Penulis Pengamal Perubatan Am, Pengkhususan Aestetik, Antipenuaan dan Perubatan Regenaratif
Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Khasiatkurmasepanjangtahun/Article/index_html

Tuesday, 16 July 2013

kurma 1

Bicara al-Quran mengenai kurma

Oleh DR. MOHD. ASMADI YAKOB

BULAN Ramadan datang kembali menemui kita. Kedatangannya pada tahun ini seperti juga kedatangannya pada tahun-tahun lepas dengan membawa rahmat, keberkatan dan pengampunan daripada Allah SWT.
Kedatangan Ramadan juga tidak dapat lari daripada membawa pelbagai jenis makanan dan buah-buahan kepada kita.

Antara buah yang paling sinonim dengan Ramadan ialah buah kurma. Hakikatnya, kurma adalah sejenis buah yang sering diulang-ulang dalam al-Quran.
Setakat yang diketahui, perkataan yang memberi maksud pohon kurma atau buah kurma disebut lebih 20 kali di dalam al-Quran. Ia menggunakan beberapa lafaz iaitu al-Nakhl, al-Nakhlah, al-Nakhil, Rutab dan Linah.
Berbanding kalimah lain, kalimah al-Nakhl paling banyak disebut dalam al-Quran iaitu 11 kali, perkataan al-Nakhil pula diulang sebanyak tujuh kali, manakala perkataan Rutab dan Liinah pula masing-masing disebut sekali.

Secara umumnya, perkataan al-Nakhl memberi maksud pohon kurma. Perkataan al-Nakhlah digunakan untuk maksud sepohon kurma manakala al-Nakhil pula untuk memberi maksud pohon kurma yang banyak.
Perkataan Rutab pula memberi erti buah kurma yang masak, manakala perkataan Liinah pula mempunyai pelbagai tafsiran, antaranya pohon kurma yang tidak mengeluarkan 'ajwah atau kurma nabi dan ia adalah kurma yang paling bermutu.

Ada yang menafsirkan Liinah sebagai pohon kurma yang masih kecil dan sebahagian ulama mengatakan Nakhlah dan Liinah adalah dua nama yang mempunyai maksud yang sama.
Dalam al-Quran, Allah sering mengingatkan manusia bahawa pohon kurma yang tumbuh di bumi ini merupakan salah satu daripada tanda-tanda kekuasaan-Nya.

Oleh itu manusia hendaklah memerhatikan kekuasaan Allah itu dan mengakui keagungan-Nya. Contohnya, firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan. Maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu biji yang banyak; dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. (al-An'am: 99)
Ayat di atas jelas menunjukkan kekuasaan Allah di dunia ini dengan menumbuhkan pelbagai jenis tanaman dan tumbuhan. Antaranya kurma, anggur, zaitun dan tumbuhan lain. Semua kejadian itu menunjukkan tanda-tanda kekuasaan Allah SWT bagi orang-orang yang beriman.

Nikmat yang wajib disyukuri

Kebun kurma adalah satu nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia yang semestinya disyukuri. Cara bersyukur adalah dengan cara menyedekahkan atau mengeluarkan zakat sebahagian daripada hasil buah kurma tersebut kepada fakir miskin.
Ini dijelaskan oleh Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang menjadikan kebun-kebun yang berjunjung dan yang tidak berjunjung, pohon kurma, tanam-tanaman yang bermacam-macam buahnya, zaitun dan delima yang serupa (bentuk dan warnanya) dan tidak sama (rasanya). Makanlah dari buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah, dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya (dengan disedekahkan kepada fakir miskin); dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan. (al-An'am: 141)
Dalam al-Quran, Allah SWT memberi perumpamaan terhadap pohon kurma dalam dua ayat iaitu surah al-Qamar ayat 20 dan surah al-Haqqah ayat 7.
Kedua-dua ayat itu menceritakan kisah kaum 'Ad yang dimusnahkan Allah kerana keingkaran dan kekufuran mereka dengan ribut yang sangat kuat.

Keadaan kemusnahan mereka itu diumpamakan seperti pohon-pohon kurma yang telah tumbang (Nakhlin mun'aqir) dan pohon-pohon kurma yang sudah usang (Nakhlin Khawiyah).
Dalam surah al-Baqarah ayat 266 pula Allah SWT memberi satu perumpamaan terhadap orang-orang yang menafkahkan hartanya dengan riak dan membangga-banggakan tentang pemberiannya kepada orang lain (tidak ikhlas), seperti seorang pemilik kebun kurma dan anggur yang luas namun ketika itu dia sudah tua, dia tidak dapat menjaga kebunnya dengan baik, sedangkan ketika itu juga anak-anaknya masih kecil.
Kemudian kebunnya itu musnah kerana terkena angin yang kencang dan terbakar oleh api marak. Maksudnya di sini adalah orang yang bersedekah tanpa keikhlasan tidak akan mendapatkan pahala di akhirat nanti seperti kebun kurma tersebut, meskipun luas dan subur tetapi kemudian terbiar, musnah dan terbakar.

Golongan yang ingkar

Dalam surah al-Israk ayat 91, Allah menceritakan kisah orang-orang kafir Mekah yang tidak mampu menandingi al-Quran, meskipun mereka adalah sasterawan yang hebat. Oleh kerana tidak mahu beriman, maka mereka mencari pelbagai alasan lain untuk menolak dakwah Nabi SAW.
Mereka turut mencabar agar nabi menunjukkan kemukjizatan-kemukjizatan baginda. Antara permintaannya adalah nabi membuat kebun kurma dan anggur yang mengalir di tengahnya sungai-sungai.
Dalam surah Taha ayat 71 pula diceritakan kemarahan Firaun kepada tukang-tukang sihirnya, selepas mereka beriman kepada Nabi Musa.

Firaun mengancam bahawa dia akan memotong tangan dan kaki tukang-tukang sihirnya yang beriman secara bersilang, dan dia akan menyalib mereka pada pangkal pohon kurma supaya orang ramai melihat keadaan mereka.

Dalam surah al-Kahfi ayat 32 pula Allah SWT menceritakan kisah dua orang lelaki yang seorangnya mukmin dan seorangnya kafir. Lelaki yang kafir ini mendapat nikmat yang banyak daripada Allah dengan dianugerahi kebun anggur dan kurma yang luas. Yang tidak mahu bersyukur dan tidak meyakini hari kiamat, kebunnya kurmanya di dimusnahkan Allah SWT sebagai hukuman di atas kesombongannya.

Kisah Maryam

Ayat ke 23 hingga 25 dalam surah Maryam menceritakan keadaan Maryam semasa hendak melahirkan Nabi Isa. Ketika itu Maryam merasa amat sakit sehingga dia bersandar pada pangkal sebatang pohon kurma. Semasa sakit tersebut dia mengadu kepada Allah dengan mengatakan alangkah baiknya sekiranya dia mati sebelum ini.

Namun Allah memberi khabar gembira kepadanya melalui malaikat Jibril agar jangan bersedih kerana Allah telah menciptakan aliran air di bawahnya dan memerintahkannya untuk menggoyangkan pangkal pohon kurma yang berada berhampirannya dan pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadanya.
Dia kemudiannya meminum air dan memakan buah kurma yang jatuh tersebut untuk mengembalikan kekuatan tubuhnya.

Sungguhpun prinsip umum dalam peperangan mengikut etika Islam ialah larangan daripada memusnahkan tanaman termasuklah kurma. Namun semasa memerangi orang kafir, tentera Islam diharuskan menebangkan pohon kurma sekiranya ada maslahat dan keperluan untuk melakukannya.
Hal ini dirakamkan oleh firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat lima.
Kurma sama ada pohon dan buahnya sering diulang-ulang oleh Allah SWT dalam al-Quran lebih daripada 20 kali.

Ini memberi gambaran bahawa pohon ini amat dekat di hati masyarakat ketika itu apatah lagi ia mempunyai nilai khasiat yang besar kepada kesihatan manusia. Nabi SAW sendiri menjelaskan kelebihan buah kurma dalam beberapa hadis baginda malahan perkara ini turut diakui oleh kajian sains moden.
Kelebihan-kelebihan kerana kandungan gizinya menjadikan ia salah satu juadah yang sangat sederhana namun sangat berkhasiat baik semasa berbuka maupun ketika sahur.

Jika kita memilih untuk berbuka dan bersahur dengan kurma maka semaikan pengajaran bagi diri dan seluruh kaum keluarga kita bahwa bahawa kurma itu sesungguhnya adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah SWT jua.


Sunday, 13 January 2013

muzium pendidikan nasional


Muzium

Usaha awal menubuhkan Muzium Pendidikan Sultan Idris telah diilhamkan sejak tahun 1950-an lagi. Pada masa itu muzium tersebut digelar muzium SITC, Muzium tersebut hanyalah muzium kecil yang hanya menyimpan khazanah-khazanah yang berkaitan dengan pendidikan di SITC dan budaya masyarakat Tanjong Malim. Pada Ogos 1986, Kementerian Pendidikan telah bersetuju terhadap saranan untuk menubuhkan secara rasmi Muzium Pendidikan Nasional. Langkah pertama ke arah penubuhan muzium ini apabila Muzium Negara telah membuat pameran pendidikan tersebut di Kuala Lumpur. Pada 31 Julai 1983, DYMM Seri Paduka Baginda Yang dipertua Agong iaitu Sultan Ahmad Shah telah melawat Muzium MPSI untuk merasmikan perayaan Jubli Intan MPSI. Beliau juga telah menyokong gagasan penubuhan Muzium Pendidikan Nasional. Muzium Pendidikan Nasional ini juga, telah mengalami beberapa perubahan dari era Muzium SITC, Muzium Pendidikan MPSI dan Muzium Pendidikan IPSI 

Pada 26 Mac 1999, Muzium Pendidikan IPSI dengan rasminya diserahkan kepada UPSI dan sekali lagi mengalami perubahan menjadi Muzium Universiti Pendidikan Sultan Idris. Akhirnya pada 26 Jun 2002 melalui kertas cadangan dan kata sepakat oleh pihak Kementerian Pendidikan dan pihak Kementerian yang lain serta pihak UPSI, Muzium Pendidikan Sultan Idris dengan rasminya telah dinaiktaraf menjadi Muzium Pendidikan Nasional. Terdapat beberapa bangunan yang dipilih oleh pihak kementerian untuk dijadikan bangunan bersejarah serta muzium, antara bangunan-bangunan bersejarah, yang dikenalpasti untuk dijadikan Muzium Pendidikan Nasional adalah:-

1. Bangunan Suluh Budiman
2. Bangunan Tadahan Utara SITC
3. Bangunan Tadahan Selatan SITC
5. Bangunan Rumah Pengetua SITC
6. Bangunan Rumah Tamu SITC
7. Bangunan Dewan Makan SITC
8. Bangunan Sekolah Latihan SITC
Muzium Pendidikan Nasional telah dirasmikan pada 19 Julai 2011 oleh DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan.

Thursday, 20 December 2012

Sunday, 16 December 2012

pbs


Tuesday, November 27, 2012

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)

Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) adalah satu sistem pentaksiran yang diperkenalkan dalam transformasi pendidikan. SPPK merupakan transformasi daripada sistem yang menumpukan kepada ujian pencapaian dan peperiksaan(berorientasi peperiksaan) kepada sistem yang lebih holistik. Tujuannya ialah untuk menyediakan satu set indikator untuk menilai potensi murid dan kesediaan untuk belajar, selain menguji penguasaan dan pencapaian. 

Pentaksiran adalah komponen penting dalam pendidikan kerana ia memberi maklumat mengenai perkembangan murid kepada guru, ibubapa dan murid itu sendiri. Hasil pentaksiran boleh membantu guru menilai kaedah pengajaran dan aktiviti yang dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. 

Kementerian prihatin terhadap dakwaan bahawa sistem pendidikan Negara terlalu berpaksikan peperiksaan. Justeru,  Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 17 Disember 2010 telah bersetuju supaya Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dilaksanakan sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Pendidikan.
 
PBS merupakan satu usaha untuk membangunkan modal insan secara holistik melalui penekanan terhadap penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika serta moral yang tinggi seperti tercatat di dalam Pelan Induk Pembangunan  Pendidikan (PIPP), Pelan Integriti Nasional (PIN) dan seperti yang dihasratkan dalam Misi Nasional.

PBS mula dilaksanakan di Sekolah Rendah pada tahun 2011 dan diperkenalkan di peringkat Sekolah Menengah pada tahun 2012. Justeru pada tahun 2016 murid-murid sekolah rendah akan menduduki UPSR yang telah ditambahbaik. Pada tahun 2014 pula PMR akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bentuk PBS.


1
APAKAH PBS?

PBS merupakan satu pentaksiran yang bersifat holistik yang mampu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

PBS dioptimumkan untuk mentaksir bidang akademik dan bukan akademik. PBS memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif (pentaksiran yang dijalankan semasa proses pembelajaran berlangsung) dan sumatif (pentaksiran yang dijalankan di akhir satu unit pembelaran) yang berasaskan sekolah .

Komponen PBS dalam sistem pentaksiran kebangsaan merangkumi:
v Pentaksiran Sekolah
v Pentaksiran Pusat
v Pentaksiran Aktiviti JasmaniSukan dan Kokurikulum
v Pentaksiran Psikometrik

Pentaksiran Sekolah (PS) dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah di sekolah. Contoh instrumen pentaksiran yang boleh digunakan ialah lembaran kerja,pemerhatian, kuiz, senarai semak, laporan tugasan, tugasan rumah dan ujian.

Pentaksiran Pusat (PP) pula ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan dan skema pemarkahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran.

Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dilaksanakan di peringkat sekolah dan ditadbir, direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam aktiviti jasmani dan kesihatan, sukan dan permainan, aktiviti kokurikulum dan aktiviti ekstrakurikulum (contohnya penglibatan sebagai ahli kumpulan marhaban yang dianjurkan oleh JK Surau tempat murid tinggal dan aktiviti bermanfaat lain yang dianjurkan oleh pihak luar selain sekolah).

Pentaksiran Pkisometrik pula dilaksanakan di peringkat sekolah dan/atau pusat untuk mengukur kebolehan (innate ability and acquired ability) semulajadi  murid, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid. Pentaksiran ini tidak berasaskan kurikulum.

2.
APAKAH OBJEKTIF PBS?

Objektif pelaksanaan PBS adalah untuk:
·         mendapatkan gambaran secara keseluruhan tentang potensi individu
·         memantau pertumbuhan dan membantu meningkatkan potensi individu
·         membuat pelaporan bermakna tentang pembelajaran individu

Kesimpulannya PBS akan memastikan murid yang melalui sistem pendidikan negara mencapai taraf antarabangsa dalam bidang ilmu pengetahuan, kemahiran dan kecekapan.
.
3
SUBJEK APAKAH YANG DINILAI MELALUI PBS?

Semua subjek yang diajar di sekolah rendah dan menengah akan dinilai melalui PBS.

4
BAGAIMANAKAH GURU MELAKSANAKAN PBS?

Bagi memastikan kelicinan pelaksanaan PBS, guru seharusnya menggunakan Dokumen Standard Kurikulum yang mengandungi perkara-perkara yang patut dipelajari dan perlu disampaikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran manakala Dokumen Standard Prestasi adalah rujukan utama untuk mentaksir dan mengukur penguasaan murid.

Guru diberi pengiktirafan dan autonomi untuk menjalankan pentaksiran secara formatif semasa pengajaran dan pembelajaran ataupun secara sumatif diakhir unit pembelajaran atau pun di akhir tahun.

Untuk mentaksir guru tidak semestinya menyediakan lembaran kerja bagi setiap kemahiran yang hendak dinilai. Evidens atau bukti penguasaan murid boleh diperolehi melalui pemerhatian, jawapan lisan, latihan dalam buku latihan atau buku kerja dan juga kerja rumah. PBS tidak membataskan kreativiti guru yang sudah tentunya lebih mengenali murid mereka.

5
APAKAH KELEBIHAN PBS?

Dalam usaha penambahbaikan kepada pentaksiran sekolah sedia ada, Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan, iaitu menggunakan Standard Prestasi untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan (growth) pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid. Ia merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum.

Pentaksiran Rujukan Standard tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan (growth) murid dalam pembelajaran dengan merujuk kepada pernyataan standard.

Murid-murid dinilai secara adil dan saksama sebagai individu dalam masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain. Pihak sekolah mampu mendapatkan maklum balas yang lengkap dalam bentuk data kualitatif dan kuantitatif yang merangkumi segala aspek tentang diri seseorang murid itu bagi membolehkan pihak yang bertanggung jawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai insan yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing.

6
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN BAND?

Dalam PBS pencapaian murid dilaporkan berdasarkan band dan bukan lagi sebagai skor mentah seperti  81% atau pun gred A,B,C,D.

BAND
STANDARD
6
Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Mithali
5
Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Terpuji
4
Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab
3
Tahu, Faham dan Boleh Buat
2
Tahu dan Faham
1
Tahu

Di Band 1, murid tahu perkara asas, atau boleh melakukan kemahiran asas atau memberi maklum balas terhadap perkara yang asas contohnya bagi Matematik murid di Band 1 mampu mengenal angka 1,2,3 ....

Di Band 2, murid menunjukkan kefahaman untuk menukar bentuk komunikasi atau menterjemah serta menjelaskan apa yang telah dipelajari contohnya murid tahu dan faham nilai angka seperti 24 lebih banyak dari 10 dan 55 kg lebih berat daripada 48 kg.

Di Band 3, murid boleh menggunakan pengetahuan untuk melaksanakan sesuatu kemahiran pada suatu situasi. Bagi matematik Band 3 menunjukkan murid telah menguasai operasi mudah tambah, tolak, darab dan bahagi.

Murid yang telah mencapai Band 3 dianggap telah menguasai kemahiran asas dalam subjek tersebut.

Di Band 4, murid melaksanakan sesuatu kemahiran dengan beradab, seperti tertib atau melaksanakan sesuatu mengikut prosedur dan secara sistematik seperti menyelesaikan operasi tolak dengan mendahulukan rumah ’sa’.

Di Band 5, murid melaksanakan sesuatu kemahiran dengan beradab pada situasi baru, dengan mengikut prosedur atau secara sistematik, serta tekal dan bersikap positif. Bagi matematik murid yang mencapai Band 5 mampu menyelesaikan masalah seperti Berapa biji telurkah yang boleh dibeli oleh Ali dengan wang RM10.00 jika sebiji telur berharga 20 sen?

Dan akhir sekali, di Band 6,  murid mampu menzahirkan idea yang kreatif dan inovatif, mempunyai keupayaan membuat keputusan untuk mengadaptasi permintaan serta cabaran dalam kehidupan seharian serta boleh berbicara untuk mendapatkan dan menyampaikan maklumat menggunakan ayat yang sesuai secara bertatasusila dan menjadi contoh secara tekal. Di Band 6 murid boleh membuat keputusan dalam masalah seperti membuat pilihan di antara kemeja biru yang berharga RM30.00 tetapi diberi diskaun 50% dan baju tawaran terbaik (best buy) yang sama kualiti dengan harga RM20.00.

Band 3 boleh disamatarafkan dengan gred lulus. Justeru guru perlu merangka aktiviti pemulihan bagi membantu murid mencapai Band minima 3.

PBS memberi autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran berdasarkan kesediaan murid. PBS membantu guru dan murid mengenalpasti kekuatan dan kelemahan murid semasa pengajaran dan pembelajaran berjalan. Sehubungan dengan itu guru bolehlah menyesuaikan aktiviti pengayaan atau pemulihan mengikut keperluan murid.

Wajar diingat bahawa PBS tidak membandingkan murid dengan murid lain. Sebaliknya kejayaan murid diukur bersandarkan Standard yang harus dicapai di sesuatu tahap pembelajaran. Adalah diharapkan dengan cara ini tekanan ke atas murid dan guru dapat dikurangkan kerana murid tidak dibandingkan dengan kumpulan yang lebih cerdas atau terpaksa menunggu rakan lain yang belum menguasai sepenuhnya sesuatu kemahiran yang diajar untuk maju. Sekiranya dilaksanakan dengan baik dan terancang PBS bakal  mewujudkan persekitaran yang harmonis dalam kelas untuk untuk perkembangan individu.

7
ADAKAH PBS AKAN MENAMBAH BEBAN TUGAS GURU?

Sekiranya diurus dan dilaksanakan dengan bijak, guru akan mendapati bahawa PBS memberi banyak manfaat dan mampu mengurangkan beban tugas guru.

Bagi membantu guru melaksanakan PBS, dua aplikasi ICT telah dibangunkan untuk memastikan guru tidak dibebani dengan tugas-tugas perkeranian. SPPBS (Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasakan Sekolah) and PAJSK (Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum) dibangunkan bagi merekod, menyimpan dan melapor perkembangan murid. Data yang disimpan boleh dicetak sebagai laporan apabila diperlukan.


8
BOLEHKAH GURU DIPERCAYAI UNTUK MENILAI MURID SENDIRI?

Kebolehpercayaan kepada pentaksiran yang dijalankan oleh guru ditingkatkan melalui penjaminan kualiti. Semua hasil kerja murid dijadikan evidens yang perlu difailkan sebagai bukti yang menunjukkan murid telah menguasai kemahiran yang diajar.

Penjaminan kualiti bagi pelaksanaan PBS dapat dicapai melalui:
a.            Pementoran
b.            Penyelarasan
c.            Pemantauan
d.            Pengesanan

Pementoran adalah proses membantu, memudah cara dan membimbing guru untuk melaksanakan PBS mengikut prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan dan boleh dilaksanakan secara formal dan tidak formal.

Penyelarasan adalah proses penyeragaman skor dengan merujuk kepada Standard Prestasi yang disediakan bagi memastikan skor yang diberikan oleh guru adalah sah dan boleh dipercayai.

Pemantauan pula ialah proses memastikan pelaksanaan PBS mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan arahan pelaksanaan PBS dipatuhi dan mengelakkan penyelewengan dan ketidakakuran. Pemantau Dalaman yang dilantik di peringkat sekolah dan Pemantau Luaran yang terdiri daripada pegawai PPD, JPN dan KPM terlibat dalam proses ini.

Pengesanan pula adalah proses memastikan kekuatan dan keberkesanan instrumen pentaksiran yang digunakan bagi meningkatkan kesahan, kebolehpercayaan dan kebolehtadbiran instrumen pentaksiran. Pengesanan turut melibatkan guru dan pegawai KPM.

Penjaminan Kualiti oleh guru mata pelajaran, Guru Cemerlang, Ketua Panitia, Ketua Bidang, Guru Besar, pegawai Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia memastikan PBS dilaksanakan dengan baik seperti dirancang. Setiap individu yang terlibat dalam pembangunan atau pelaksanaan sistem pentaksiran pendidikan adalah bertanggungjawab menjamin kualiti dan mutu pentaksiran yang dikendalikan. Kualiti hendaklah menjadi tumpuan utama dalam semua aspek dan peringkat pentaksiran. 


9
ADAKAH PBS SATU KONSEP BARU?

PBS bukan konsep baru. Soalan, kuiz, latihan dalam kelas, kerja rumah dan projek adalah kaedah yang sering diguna pakai oleh guru untuk mengukur penguasaan murid dalam setiap kemahiran yang diajar.


10
PENUTUP

Pentaksiran pendidikan di Malaysia bertujuan mendapatkan maklumat  tentang prestasi muridbagi memperkembangkan sepenuhnya potensi setiap individu sebagai modal insan yang harmonis dan seimbang selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Apa yang jelas, proses penambahbaikan yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran menerusi PBS ini memberi gambaran bahawa sistem peperiksaan berpusat seperti UPSR dan PMR bukan lagi bentuk penilaian tunggal dalam mengukur pencapaian murid menguasai pembelajaran. Lebih dari itu, ia diharap mampu melahirkan murid yang lebih cemerlang dalam semua aspek kerana pentaksirannya dilakukan daripada peringkat awal dan bukan sahaja terhad kepada bidang akademik tetapi juga merangkumi sahsiah, sukan dan kokurikulum.

Murid-murid dinilai secara adil dan saksama sebagai individu dalam masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain. Pihak sekolah mampu mendapatkan maklum balas yang lengkap dalam bentuk data kualitatif dan kuantitatif yang merangkumi segala aspek tentang diri seseorang murid itu bagi membolehkan pihak yang bertanggung jawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai insan yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk menyumbang .

Pentaksiran yang berkualiti akan menghasilkan maklumat yang tepat dan menunjukkan keadaan sebenar tentang tahap pembelajaran murid. Maklumat yang tepat boleh membantu pembuat dan penentu dasar melakukan perubahan bagi tujuan meningkatkan pengajaran dan pembelajaran. 



LEMBAGA PEPERIKSAAN
KEMENTERIAN PELAJARAN