Thursday 18 July 2013

kurma 2

Khasiat kurma sepanjang tahun

Buah kurma amat popular sebagai satu makanan untuk berbuka puasa dalam bulan Ramadan ini. Berbuka puasa dengan makan buah kurma satu sunah Nabi SAW dan amat digalakkan juga memakannya ketika sahur.
Kurma atau tamar adalah sejenis tumbuhan yang berbuah dan boleh dimakan sama ada ketika sudah masak atau masih mentah. Kurma dikatakan tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan dan sebahagian daripadanya sudah terbukti secara saintifik. Malah, dalam al-Quran saja terdapat 20 ayat menyebut mengenai kurma. Baginda Rasulullah juga sendiri beberapa kali menyebut perihal kurma dan khasiatnya, serta amat sinonim dengan kisah sirah baginda.

Pohon kurma adalah satu daripada pohon di dalam syurga sebagaimana firman Allah dalam Surah Ar Rahman, ayat 68: “Di dalam keduanya ada (macam-macam) buah-buahan dari kurma serta delima.” Iraq adalah negara pengeluar kurma terbesar di dunia diikuti Arab Saudi dan negara utara Afrika. Setiap tahun dua juta tan kurma dihasilkan dan terdapat dua ribu jenis kurma.
Pohon kurma banyak digunakan oleh masyarakat di Timur Tengah untuk pelbagai urusan hidup mereka. Di dalam al-Quran pohon kurma diumpamakan sebagai perumpamaan orang beriman dengan kukuh akarnya seperti kalimat yang baik, sebagaimana firman Allah dalam Surah Ibrahim, ayat 24-25: “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah sudah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan pucuknya (menjulang) ke langit, pohon itu memberi buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya.” Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.

Imam Al-Qurtubi menyebut bahawa Al-Ghaznawi meriwayatkan sebuah hadis Nabi, baginda bersabda: “Perumpamaan orang beriman itu seperti pohon kurma, jika kamu berteman dengannya maka ia akan memberi manfaat untukmu, jika engkau duduk dengannya ia akan memberi manfaat untukmu dan jika engkau bermusyawarah dengannya ia akan memberikan manfaat untukmu. Seperti pohon kurma, semua yang ada pada dirinya bermanfaat.” Buah kurma pula sangat tinggi khasiatnya dari segi kesihatan. Ia mempunyai kandungan glukosa tinggi dan amat baik untuk memulihkan tenaga yang hilang selepas seharian berpuasa apabila dimakan ketika berbuka. Kandungan seratnya tinggi amat baik untuk penghadaman yang baik dan mencegah masalah sembelit.

Ia juga mengandungi antioksidan yang sangat tinggi dinamakan sebagai ‘phenol’ yang baik untuk mencegah kanser dan pelbagai penyakit kronik jika diamalkan selalu.
Persatuan Kanser Amerika mencadangkan pemakanan yang tinggi dengan serat sehingga 25 hingga 35 gram setiap hari untuk mencegah kanser usus dan ini boleh dicapai dengan makan kurma yang mengandungi kandungan serat yang amat tinggi.

Serat boleh larut tinggi Kurma mengandungi kandungan serat boleh larut yang tinggi dan ia juga amat baik mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung koronari.
Di dalam 100 gram buah kurma mengandungi 20 gram air, 2 gram protein, 5 gram lemak, 75 gram glukosa. Ia juga mengandungi pelbagai vitamin dan garam mineral seperti vitamin A, vitamin C, vitamin B kompleks, potassium, zat besi, sulfur, magnesium, kalsium, kuprum, fosforus dan sebagainya.

Kandungan mineral yang tinggi dalam kurma amat baik untuk membantu menguatkan tulang dan sendi. Ia juga boleh mencegah masalah osteoporosis atau reput tulang yang biasa berlaku kepada warga emas.

Kurma juga mempunyai khasiat kesihatan untuk ibu mengandung dan bakal melahirkan anak dengan membekalkan tenaga segera di samping pelbagai khasiat zat makanan.

Kandungan zat besi yang tinggi dalam buah kurma membantu mencegah masalah kekurangan sel darah merah. Dengan garam potassium di dalamnya yang tinggi, kurma boleh mengurangkan risiko mendapat angin ahmar. Dalam satu kajian di University of Minnesota, kurma boleh membantu mengawal tekanan darah tinggi dengan lebih baik kerana kandungan potassiumnya selain mengandungi vitamin B3 atau Niasin yang boleh membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah.

Kurma tidak akan menyebabkan masalah kegemukan walaupun kandungan glukosa yang tinggi kerana kandungan seratnya yang tinggi juga. Tetapi, ia boleh membantu seseorang yang kurus kering untuk menambahkan berat badan jika dimakan selalu kerana akan membantu menambahkan saiz otot dan kekuatan otot.

Di dalam al-Quran kurma atau An Nakhlah disebut sehingga dua puluh kali yang membuktikan kepentingannya sebagai makanan, kesihatan, kebaikan dan harta. Didalam surah Al-An’am, ayat 99 firman Allah yang bermaksud: “Dan dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuhan yang menghijau, kami keluarkan daripada tanaman yang menghijau itu buah yang banyak dan daripada mayang kurma mengurai tangkai yang berjurai-jurai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikan buahnya di waktu pohonnya berbuah, dan (perhatikanlah pula) apabila ia masak. Sesungguhnya pada yang demikian itu tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang yang beriman.” Biji kurma juga digunakan untuk membuat minyak biji kurma dan hampas biji kurma digunakan sebagai makanan haiwan ternakan.

Kita seharusnya terus makan buah kurma sepanjang tahun dan bukan hanya sewaktu Ramadan. Amalkan makan buah kurma setiap pagi sebelum sarapan untuk mendapatkan tenaga segera pada waktu pagi dan juga membekalkan pelbagai vitamin dan mineral untuk keperluan harian kita. Penulis Pengamal Perubatan Am, Pengkhususan Aestetik, Antipenuaan dan Perubatan Regenaratif
Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/18http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Khasiatkurmasepanjangtahun/Article/index_html

No comments:

Post a Comment