Wednesday 24 October 2012

dasar kanak-kanak negara dan dasar perlindungan kanak-kanak negara


15.9.2009 - Dasar Kanak-kanak Negara dan Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara


15 September 2009

KENYATAAN AKHBAR
YB SENATOR DATO’ SRI SHAHRIZAT ABDUL JALIL
MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA, DAN MASYARAKAT

DASAR KANAK-KANAK NEGARA
DAN
DASAR PERLINDUNGAN KANAK-KANAK NEGARA
______________________________________________________________________________

Sukacita dimaklumkan Kabinet telah meluluskan 2 dasar mengenai kanak-kanak iaitu:
                                                                               i.        Dasar Kanak-Kanak Negara (termasuk pelan tindakannya); dan
                                                                        ii.        Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara (termasuk pelan tindakannya).

Dasar Kanak-Kanak Negara adalah satu dasar mengenai hak kelangsungan hidup (survival), perlindungan (protection), perkembangan (development) dan penyertaan (participation) kanak-kanak agar mereka dapat menikmati peluang dan ruang untuk mencapai perkembangan holistik dalam persekitaran yang kondusif.

Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara pula adalah satu dasar bagi memastikan setiap kanak-kanak di negara ini mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi.

Kedua-dua dasar ini sangat penting kerana kanak-kanak merupakan 39.2% atau 11.1 juta daripada 28.3 juta penduduk Malaysia pada masa ini, yang menjadi aset penting negara. Mengikut definasi Akta Kanak-Kanak 2001, kanak-kanak ialah seseorang yang berumur di bawah 18 tahun. Selain itu, kanak-kanak merupakan golongan yang mudah terpengaruh dan memerlukan bimbingan, tunjuk ajar dan didikan.

Statistik daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa kes penderaan fizikal, cabul kehormatan dan rogol ke atas kanak-kanak meningkat setiap tahun iaitu daripada 2,236 kes pada tahun 2005 kepada 5,744 pada tahun 2008. Dalam tempoh 7 bulan pertama tahun ini sahaja sebanyak 2,193 kes telah dilaporkan kepada PDRM. Sementara kes kehilangan kanak-kanak juga membimbangkan di mana jumlah kes yang dilaporkan pada tahun 2008 ialah 982 kes dan daripada jumlah itu, 500 kes masih hilang. Perangkaan ini amat membimbangkan kita, justeru kelulusan kedua-dua dasar berkaitan kanak-kanak oleh Jemaah Menteri adalah bertepatan pada masanya.

Justeru penggubalan kedua-dua dasar ini tepat pada masanya bagi memberi perlindungan dan seterusnya membentuk kanak-kanak menjadi warganegara yang mantap dari segenap aspek kehidupan apabila dewasa kelak.

Dasar Kanak-Kanak Negara dan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara menjadi panduan kepada pelbagai pihak seperti agensi Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, sukarelawan dan anggota masyarakat untuk menggembleng usaha bagi membangunkan golongan kanak-kanak yang merupakan modal insan penting sesebuah negara.

Berikutan kelulusan kedua-dua dasar ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengambil tindakan segera seperti berikut:
       i.        mewajibkan semua institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kanak-kanak yang menerima geran Kerajaan mewujudkan dasar perlindungan kanak-kanak masing-masing berpandukan template yang telah dibangunkan (Contoh template seperti dalam dokumen Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara). Antara lainnya template ini memberikan tumpuan kepada aspek protokol kelakuan kakitangan institusi, pengambilan dan penapisan kakitangan, serta prosedur menguruskan tuduhan penderaan. Langkah ini penting bagi mengelakkan kejadian petugas di rumah perlindungan sendiri mendera, mengeksploitasi, merogol dan sebagainya ke atas kanak-kanak;
           ii.        mewujudkan child helpline bagi membolehkan kanak-kanak dan orang ramai membuat laporan secara terus kepada pelindung atau pihak berkuasa keselamatan mengenai sebarang bentuk penderaan, pengabaian, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak. Untuk sementara waktu ini, sebarang aduan mengenai penderaan kanak-kanak boleh disalurkan melalui Talian Nur15999; Dalam hal ini, KPWKM dengan kerjasama pihak NGO sedang menubuhkan child helpline berkenaan; dan
            iii.        meneruskan perbincangan dengan pelbagai agensi kerajaan khususnya pihak penguat kuasa keselamatan seperti Polis dan Imigresen bagi memperhalusi dan memperincikan pembangunan alert system iaitu sistem amaran awal tentang kehilangan atau penculikan kanak-kanak. Langkah ini termasuk tindakan bersepadu antara agensi yang perlu diambil serta-merta jika berlaku kes kehilangan kanak-kanak.

Kedua-dua dasar ini dilengkapkan dengan pelan tindakan masing-masing sebagai garis panduan yang lebih terperinci yang mengandungi tempoh masa dan sasaran outcome bagi memudahkan pelaksanaanya. Kedua-dua dasar dan pelan tindakan ini telah digubal berdasar input dan rundingan dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pihak NGO, pakar perubatan, pekerja sosial dan sukarelawan serta individu tertentu yang pakar dalam bidang kanak-kanak.

Selain itu, kedua-dua dasar ini merupakan dokumen yang menterjemahkan instrumen sedia ada iaitu Akta Kanak-Kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dalam bentuk yang mudah dilaksanakan di peringkat akar umbi demi menjamin hak dan kesejahteraan kanak-kanak.

=Terakhir Kemaskini pada Jumaat, 23 Oktober 2009 12:02