PROFIL BLOGGER

 


---------------------------------------------------------------------------------
1984


2012


---------------------------------------------------------------------------------------------------------





--------------------------------------------------------------------------------------------------------

HARIAN METRO (EDISI TENGAH) www.hmetro.com.my
22hb. Julai 2013  (13 Ramadan 1434)
ISNIN


------------------------------------------------------------------------------------------------

HARIAN METRO  www.hmetro.com.my
2015



--------------------------------------------------------------------------------

HARIAN METRO  www.hmetro.com.my
16hb. Mei 2016  (09 Syaaban 1437)
ISNIN

SEMPENA HARI GURU 2016








--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

BERITA HARIAN
18hb. Mei 2016  (11 Syaaban 1437)
RABU


-------------------------------------------------------------------------------

BERITA HARIAN
24hb. Mei 2016  (17 Syaaban 1437)
SELASA



--------------------------------------------------------
Jumaat, 25 Ogos 2017 | 9:49am



Bendera gergasi di SK Gedangsa
Oleh Rosman Shamsudin
Share
BEHRANG: Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Gedangsa, di sini, memasang Jalur Gemilang gergasi setinggi bangunan dua tingkat bagi memeriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat sekolah itu, pagi tadi.
Seramai 27 guru dan kakitangan serta 197 murid bersama ibu bapa terbabit dalam menyiapkan bendera itu dalam tempoh dua minggu.
Bendera bersaiz 11 meter panjang dan enam meter lebar itu diilhamkan oleh Guru Penolong Kanan Kokurikulum (GPK), Mohd Salleh Mislam, 37, bersama guru Pusat Sumber Sekolah (PSS), Norhamizan Mat Gaus, 48 dan Suzielinda Tajuludin, 39, serta guru sekolah itu.
Mohd Salleh berkata, bendera itu dijahit sendiri dengan kerjasama guru dan ibu bapa.
"Modal untuk menghasilkan bendera ini disumbangkan oleh guru dan kakitangan sekolah .
"Tujuan bendera ini dihasilkan adalah untuk menyemarakkan lagi Bulan Kemerdekaan dalam kalangan murid sekolah ini dan mendedahkan kepada mereka betapa besarnya erti hari keramat 31 Ogos buat rakyat di negara ini.
"Semangat cintakan negara dan patriotik harus ditanam dalam kalangan rakyat bermula sejak sekolah rendah lagi supaya generasi ini yang menjadi aset masa depan negara, sedar tanggungjawab mereka mengisi ruang kemerdekaan," katanya.
Mohd Salleh berkata, kerja menjahit bendera itu bermula 14 Ogos lalu.
Turut hadir pada hari bersejarah itu, Guru Besar SK Gedangsa, Hamzah Salleh; GPK Kurikulum, Mohamad Kosnan Sadri dan GPK Hal Ehwal Murid, Sharifah Arshad.



Rosman Shamsudin
am@hmetro.com.my

MURID dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Gedangsa, Behrang, hari ini, menaikkan Jalur Gemilang gergasi.
Mereka memerlukan kira-kira dua minggu untuk menyiapkan bendera Malaysia 11 meter dan lebar enam meter sempena Hari Kebangsaan.
Pembikinan bendera itu adalah hasil idea Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Mohd Salleh Mislam, 37, bersama guru Pusat Sumber Sekolah(PSS), Norhamizan Mat Gaus, 48, dan Suzielinda Tajuludin, 39.
Mereka menggunakan wang hasil sumbangan guru serta ibu bapa murid untuk menghasilkan Jalur Gemilang itu.
Mohd Salleh berkata, bendera itu dijahit sendiri oleh guru dan ibu bapa murid.
Katanya, buat pertama kali dalam sejarah sekolah mengusahakan projek sebesar itu.
“Tujuan bendera ini dihasilkan ialah untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dalam kalangan murid-murid sekolah ini supaya mereka tahu erti kemerdekaan sebenar," katanya selepas memasang bendera itu di bangunan sekolah itu.
Hadir sama menyaksikan pemasangan bendera itu ialah Guru Besar SK Gedangsa, Hamzah Salleh.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 9:49 AM

--------------------------------------------------------------------
Segera selesai isu berbangkit antara guru, pelajar
WARTAWAN SINAR HARIAN
10 FEBRUARI 2018


Rosni menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan Gedangsa

HULU BERNAM - Permasalahan berbangkit di sekolah terutama antara guru dan pelajar perlu diselesaikan secara permuafakatan bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif.

Adun Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar berkata, jawatankuasa permuafakatan di sekolah berfungsi sebagai platform perbincangan apabila pihak yang terlibat akan dipanggil untuk berbincang secara aman.

Menurutnya, mengheret guru ke mahkamah bukan kemestian atau dijadikan budaya di negara ini apabila membabitkan kes pelajar didenda akibat masalah disiplin.

“Guru juga manusia biasa dan ibu bapa juga pernah menjadi pelajar pada satu ketika dulu, maka sudah pasti kita tahu cara pembelajaran di sekolah.

“Masing-masing mempunyai tanggungjawab dan peranan dalam memastikan pelajar mematuhi peraturan di sekolah dan tidak melakukan sebarang kesalahan disiplin.

“Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan saluran dalam menyelesaikan sebarang masalah kerana menjadi penghubung mengukuhkan kerjasama kedua-dua pihak,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian beg sekolah, semalam.

Rosni berkata, kerajaan persekutuan mengutamakan pendidikan apabila menyalurkan sejumlah peruntukan termasuk bagi meringankan beban ibu bapa menyediakan keperluan pembelajaran.

Katanya, badan bukan kerajaan  dan syarikat korporat turut tidak terkecuali mengambil inisiatif sedemikian yang menyumbang kelengkapan pelajar di seluruh negara.
--------------------------------------------------------------------

MONOLOG SEORANG GURU

PROLOG

Profesion perguruan merupakan profesion paling utama dalam proses penyerapan ilmu pengetahuan kepada individu dan masyarakat. Dalam era globalisasi sekarang, peranan guru menjadi semakin kompleks dan mencabar. Golongan guru hendaklah memastikan martabat perguruan sentiasa dipertingkatkan dari masa ke masa ke tahap yang lebih tinggi dan dihormati. Dewasa ini, apabila kita bertanya kepada para pelajar cita-cita mereka apabila dewasa kelak, pasti pilihan mereka bukannya guru. Tetapi apabila mereka sudah mulai memupuk perasaan cinta kepada profesion perguruan, mereka pasti tidak mahu berenggang dengan profesion ini. Apabila kena dengan cara dan gayanya, bidang kerjaya ini amat menarik dan menyegarkan kita. Seperti aku yang amat meminati tugas sebagai seorang guru. Aku meminati tugas sebagai seorang guru dengan penuh ikhlas dan tanggungjawab dalam melahirkan warga intelektual yang mampu menjana ekonomi serta kemakmuran negara.
Perayaan Hari Guru yang disambut pada 16 Mei saban tahun, sekali lagi mengingatkan kita akan besarnya jasa serta pengorbanan insan yang bergelar pendidik. Sambutan Hari Guru bukan sahaja harus diraikan warga pendidik, malah semua pihak terutama golongan pelajar, mereka yang sudah meninggalkan alam persekolahan serta ibu bapa. Mereka harus sama-sama menghayatinya, walaupun sambutan ini ialah hari yang istimewa khusus buat golongan guru. Bagi pelajar yang masih bersekolah, guru boleh disifatkan sebagai ibu bapa kedua kerana mereka bukan saja mendidik pelajar untuk cemerlang dalam peperiksaan, malah turut memupuk nilai murni rohani dan jasmani, kasih sayang, akhlak mulia serta menghindari segala keburukan agar menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara seperti yang diimpikan setiap ibu bapa. Sebab itulah pelajar harus menghormati guru dan patuh kepada segala tunjuk ajar dan nasihat guru seperti mana mereka mentaati ibu bapa.

           Lihat sahajalah sajak nukilan hebat Usman Awang bertajuk ‘Guru Oh Guru.’ Hayati, amati dan rasai roh yang meresap dalam sajak ini. Apabila kita membaca dan mengamati kandungan sajak ini, sudah pasti jiwa kita akan tersentuh dengan pengorbanan guru.
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
USMAN AWANG
1979
Jarang berlaku dalam sejarah peradaban manusia, guru menyuruh anak didiknya melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang. Walaupun guru terpaksa menghukum pelajarnya sendiri, tetapi semua ini adalah semata-mata demi kebaikan. Bagi mereka yang sudah meninggalkan alam persekolahan, jasa bekas guru tidak harus dilupa kerana hasil daripada didikan gurulah yang telah meletakkan diri mereka pada kedudukan di mana mereka berada sekarang. Kejayaan mereka adalah kerana hasil didikan guru dan jika mereka gagal sekalipun, adalah kerana salah diri sendiri yang tidak mengikut nasihat guru. Setiap insan tentunya mahu mengecapi kesenangan dalam kehidupan. Kegagalan akan membuatkan kita insaf dan menyesal kerana tidak memberi tumpuan kepada pelajaran serta mengikuti pesanan guru sewaktu berada di bangku sekolah suatu ketika dahulu.
           Pada hari ini, segala kenangan sewaktu berada di sekolah akan kembali bermain dalam fikiran ramai insan dan menimbulkan kesedaran serta keinsafan betapa besarnya peranan guru. Kegigihan semua guru-guruku mendidikku tanpa rasa jemu sebenarnya telah mengukir bibit-bibit perasaan cinta aku terhadap profesion perguruan. Sejak aku berusia 12 tahun, aku telah menanamkan tekad yang jitu menyahut cabaran sebagai guru. Alhamdulillah, Allah mengabulkan doa aku selama ini. Dapatlah aku memperturunkan segala yang aku miliki demi anak bangsa yang dahagakan ilmu.
Imam Al-Ghazali pernah berkata bahawa “Ilmu itu, sesungguhnya mati jasad kerana roh, mati roh kerana tiada ilmu. Mati ilmu kerana tiada amal, mati amal kerana tiada istiqamah. Menuntut ilmu adalah taqwa, menyampaikan ilmu adalah ibadah, mengulang ilmu adalah zikir dan mencari ilmu adalah jihad.”

 

KENANGAN

Hari ini 16hb. April, 2012 hari Isnin. Selepas solat subuh berjemaah, seperti biasa aku bersiap untuk ke sekolah. Sekolah Kebangsaan Sri Keledang, SKC Bernam, Hulu Selangor. Hari ini genap empat bulan aku bertugas di sekolah ini. Sekolah yang terletak di pedalaman. Di penghujung daerah Hulu Selangor. Pekan terdekat ialah pekan Slim River, Perak yang jauhnya lebih kurang 16 km. Kebanyakan penduduknya adalah bekas pekerja lombong bijih timah yang sudah ditutup. Kini mereka bekerja di ladang kelapa sawit. Jaraknya lebih kurang 18 km dari rumahku yang melalui pintas. Jalan yang berlopak dan berlubang untuk sampai.

Awal lagi. Masih 6:30 pagi. Tapi entah mengapa, tiba-tiba pagi ini aku berasa macam ada sahaja yang tidak kena. Mengapa? Aku sendiri mencari jawapannya. Pada rak buku di ruang tamu aku terlihat sebuah buku milik anak ketigaku, Muhamad Adib. Aku membelek-belek buku tersebut satu persatu. ‘Kasut Kelopak Jantung’. Aku berasakan agak menarik dan unik tajuk ini.

‘Hari itu Cikgu Harun menerima lagi sebuah bungkusan. Ketika balik dari surau malam itu, bungkusan itu sudah ada. Nama pada bungkusan itu sememangnya Cikgu Harun walaupun tidak bersetem atau tanda dihantar dengan pos. Cikgu Harun tahu benar pengirim bungkusan itu. Bukan pertama kali dia menerimanya, malah setahun dua kali sudah pasti, semenjak beberapa tahun yang lalu. Terutamanya ketika tibanya tarikh 16 Mei, bungkusan hadiah itu akan sampai seperti selalunya. Dia telah pun menduga’ (Ghazali Lateh: 77).

Itulah permulaan ungkapan cerita ini. Tanpa aku sedari, air mataku merembes membasahi pipiku. Baris demi baris aku amati.
“Subhanallah.” Betapa besarnya pengorbanan guru-guruku mendidik aku selama ini.
Waktu inilah aku teringatkan guru-guru aku yang selama ini tidak pernah jemu-jemu mendidik aku. Nampak mudah sahaja…
“A B C”, kata Cikgu Ashari.
“Alif  Ba Ta”, ajar Ustaz Salleh.
“1, 2, 3”, kira Cikgu Chit Kam Weng.
“What is this?”,tanya Cikgu Goh.
Nyaring suara mereka. Masih terngiang-ngiang ajaran mereka. Menerobos dari gegendang telinga tepat ke otakku. Tanpa mereka, aku tidak akan dapat berdiri di atas tempat aku berpijak sekarang ini. Tanpa insan suci bergelar guru juga sudah pasti aku tidak dapat berkhidmat penuh ikhlas mendidik anak bangsaku. Aku tahu yang aku belum mampu melahirkan Perdana Menteri, seorang pendakwah, seorang imam, seorang saintis tetapi aku percaya mereka tidak akan mampu menjadi seperti apa-apa yang mereka jadi, tanpa seorang insan yang bergelar guru.

Hari ini, semalam dan kelmarin. Bagaimanakah manusia memandang guru? Walaupun hanya sekelumit pengalaman sebagai seorang guru tetapi aku memikirkan adakah masih ada rasa hormat manusia terhadap seorang insan bergelar guru? Masih adakah? Aku bermonolog. Kadang kala, aku rasa macam putus asa. Berbagai-bagai perkara sudah dibuat,  tapi macam-macam pula yang jadi. Tak buat apa-apa, membawa diri, bawa perasaan dan buat tak tahu sahaja, nanti orang mengata pula. Kalau semua salah...nak buat apa? Tidak mengapalah. Tapi sebab minat mendidik aku gagahkan juga. Aku amat menyayangi tugas aku sebagai seorang guru. Aku percaya apabila kita melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas nescaya Allah akan membalas kebaikan kita.




BAB 2

ZAMAN KANAK-KANAK

Semasa aku berusia 7 tahun, aku pernah bertanya kepada ibuku tentang keluargaku. Ketika itu ibuku Fatimah binti Abdul Samat hanya mampu tergelak mengimbau peristiwa silam. Sebenarnya, aku amat mengagumi ibu dan Allahyarham bapaku Sadri bin Jasmin atas kecekalan mereka meneruskan hidup memajukan FELDA Gedangsa. FELDA? Pasti ada individu yang tidak mengetahui tentang FELDA. Dewasa ini apabila membicarakan tentang FELDA sudah pasti dalam kotak fikiran masing-masing beranggapan bahawa penduduk FELDA hidup dalam kesenangan. Tetapi apakah hakikatnya?

Untuk fakta, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau FELDA telah ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah (Land Development Ordinance) 1956. Fungsi FELDA yang diperuntukkan di bawah Akta (Pindaan 1991) adalah untuk menjalankan dan melaksanakan projek pembangunan tanah. Selain itu FELDA juga berfungsi sebagai memaju, memudah dan melaksanakan pembangunan, pengurusan dan perkhidmatan ekonomi, sosial, pertanian, penempatan, perindustrian dan komersial serta aktiviti sampingan yang lain di kawasan di mana FELDA diberi kuasa melaksanakan projek pembangunan tanah atau kawasan yang dimiliki oleh FELDA dan syarikatnya. FELDA juga berfungsi melaksanakan kegiatan yang dapat membantu memodenkan sektor pertanian di kawasan di mana FELDA diberi kuasa mentadbirnya terutama dalam kegiatan yang berkaitan dengan pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran hasil keluaran pertanian dan ternakan. Membantu, membimbing, menasihati, mengurus dan menyelaraskan kegiatan-kegiatan sosial penempatan, pertanian, industri dan komersial dalam kawasan FELDA juga merupakan fungsi penubuhan FELDA.

Ibuku yang semakin rancak bercerita menyatakan bahawa pada 19hb. Oktober, 1964 bersamaan 14 Jamadilakhir, 1384(H) hari Isnin, tepat jam 4:30 petang seorang bayi comel telah dilahirkan di sebuah teratak using peninggalan datukku Jasmin bin Haji Shukor.

“Uwek…uwek…uwek….”

Tangisan bayi itu benar-benar memecahkan keheningan petang Batu 9 Kampong Medan, Sijangkang, Klang, Selangor yang rata-rata penduduknya merupakan petani. Walaupun merupakan anak keempat tetapi girangnya bukan main ibu bapaku. Bapaku menyambut bayi berkenaan lalu melaungkan azan pada telinga kanan bayi lelaki itu. MOHAMAD KOSNAN BIN SADRI. Itulah nama yang telah diberikan oleh ibu bapaku. Nama yang menjadi kebanggaanku dan keluargaku. Terpapar pada surat beranak dan kad pengenalanku yang hingga kini aku simpan. Terima kasih ayah…terima kasih ibuku kerana membenarkan aku menghirup udara segar dan merasai panas pancaran matahari. Terima kasih kerana mendidikku sehingga aku berjaya kini.

Tambah ibuku, janji yang meyakinkan pihak FELDA telah mendorong ibu bapaku bersama adik-beradikku yang lain berhijrah ke Tanah Rancangan FELDA Gedangsa pada tahun 1967. Peringkat awal dalam membangunkan FELDA ini, hidup aku dan keluarga aku dalam kesempitan. ‘Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.’ Itulah perumpamaan yang paling tepat untuk keluarga aku. Walaupun ketika itu aku belum mengerti namun, kesusahan yang diceritakan oleh ibuku benar-benar membangkitkan perasaan sedih dalam diriku.

“Mat, belajar rajin-rajin. Mak tak nak kau pun hidup susah”. Sayu suara ibu. Mat atau Selamat  adalah nama timangan atau panggilan untuk aku. Nama yang diberi selepas aku sembuh dari penyakit gusi yang kronik semasa usiaku 2 tahun.

Ketika kami berpindah ke FELDA Gedangsa, jumlah ahli keluargaku bertambah. Kalau sebelum ini lima orang adik beradik kini adik beradikku menjadi tujuh orang. Ini bermakna, tanggungjawab bapa dan ibuku bertambah. Namun, ibu bapaku tidak pernah mengeluh. Mereka percaya setiap anak yang lahir ke dunia ini mempunyai rezekinya.

Aku masih ingat lagi betapa sukarnya kehidupan kami. Kulihat wajah tenang ayah dan ibuku sedikitpun tidak menampakkan kesusahan mereka. Ketika itu ada adik beradikku sudah bersekolah. Oleh sebab menghadapi masalah kewangan, bapaku terpaksa berurus niaga secara hutang di kedai FELDA. Dahulu dipanggil ‘Kedai Syarikat’ yang diuruskan oleh Perbadanan Niaga FELDA tetapi sekarang dikenali sebagai Kedai Dmart yang diuruskan FELDA Trading Sdn. Bhd. anak syarikat Koperasi Permodalan FELDA. Ketika itu setiap peneroka mendapat gaji berupa wang sara hidup. Cukup bulan sahaja, wang sara hidup tersebut akan dipotong untuk melangsaikan hutang di kedai FELDA.

Kalau hendak dibandingkan dengan anak-anak zaman sekarang memang bertuah. Bekalan air, telefon dan bekalan elektrik semuanya ada. Semasa aku kanak-kanak, aku tidak pernah merasai bekalan elektrik di rumah. Bekalan air pun tiada. Setiap hari aku akan membantu bapa dan ibuku mengambil air di tepi jalan. Maksud aku, pihak pengurusan FELDA telah menyediakan satu kawasan khas untuk para peneroka mengambil air. Walaupun terpaksa beratur panjang saban hari namun aku puas kerana dapat membantu kedua ibu bapaku.

Pada tahun 1971, aku menjejakkan kaki ke sekolah rendah. Hari pertama persekolahan aku dihantar olek ibuku kerana bapaku terpaksa bekerja mencari rezeki untuk kami sekeluarga. Kecut perut aku kerana inilah hari pertama aku bergelar sebagai murid sekolah. Setelah mendaftar ibuku terpaksa pulang kerana ada urusan yang perlu dibereskan. Ibuku adalah orang pertama yang mengajar aku tentang majoriti. Pesan ibu sebelum meninggalkan sekolah, “Mat, nanti ikut orang ramai” Pesanan ini aku ingat sampai sekarang. Hari itu di mana sahaja ada orang ramai berkumpul, aku akan menyelitkan diriku. Aku tak peduli samada kewujudan aku di kelompok tersebut diterima atau tidak. Apa yang penting ialah pesanan ibuku mesti kupatuhi. 


Alhamdulillah, akhirnya aku diterima masuk ke Darjah 1 Merah. Semenjak hari itu, Sekolah Kebangsaan Gedangsa yang jaraknya lebih kurang dua kilometer dari rumahku itu aku tujui setiap hari bersama kawan-kawanku. Setiap hari ibuku pasti menyediakan makanan kegemaranku iaitu nasi goreng. Nasi goreng walaupun ringkas tetapi aku rasa cukup enak. Apa lagi apabila nasi goreng tersebut dimakan beramai-ramai. Hubungan aku dengan kawan-kawanku menjadi semakin akrab hingga kini.  Kami juga bertukar-tukar makanan sesama kami. Kadang kala aku dapat rasakan seperti kami dalam keluarga yang besar. Lagipun rata-rata dalam kalangan kami tidak membawa wang ke sekolah kerana kesempitan hidup yang kami alami. Namun, aku tetap bersyukur kerana masih mampu memperoleh sesuap nasi dalam meneruskan kehidupan ini.
           
Semasa di Darjah 1, aku bersyukur kerana aku mempunyai guru yang amat prihatin dan memahami akan kesempitan hidup yang aku alami. Guru-guruku tidak pernah marah apabila aku membuat latihan pada papan tulis sedangkan rakan-rakanku menulis latihan pada buku. Selesai sahaja aku menyiapkan latihan, guru terus menyemak latihan tersebut. Manakan aku lupa seorang guru berbangsa Cina iaitu Cikgu Chit Kam Weng. Beliau merupakan antara guru kegemaranku. Karakter beliau yang sentiasa mengajar dengan bersungguh-sungguh dan sabar mendidik aku membolehkan aku cepat lancar membaca dan mengira walaupun pada hakikatnya aku tidak memiliki buku tulis.

            Aku juga masih ingat lagi pada tahun 1976, ketika itu aku Darjah 6. Tahun tersebut merupakan antara tahun kegemilangan aku sebagai seorang pelajar. Ketika itu, aku amat aktif dalam setiap aktiviti sekolah. Aku menyertai acara sukan dan kebudayaan. Aku masih ingat lagi, pada tahun tersebut sekolah aku telah mengadakan pementasan dua malam berturut-turut. Persembahan seperti nyanyian, lakonan, tarian dan sebagainya dipentaskan. Sekolah aku menjadi seperti pesta dan sangat meriah. Ketika itu, aku bersama dua rakanku iaitu Baharuddin dan Zamri memberanikan diri menyertai pertandingan nyanyian dan tarian. Berbekalkan nama komersial iaitu The Big Boss kami telah mendapat tempat kedua dalam pertandingan nyanyian. Walaupun kami mendapat tempat kedua namun hati kami girang. Piala kemenangan yang kami perolehi, kami simpan di almari kelas kami. Saban hari aku tatap piala kemenangan tersebut. Aku puas.

            Apakan daya. Hasil perbincangan di antara aku dan dua rakanku, kami terpaksa menjual piala itu. Puncanya hanya kerana kami tiada wang untuk membeli makanan sewaktu rehat di sekolah. Kami sedih apabila piala tersebut bertukar tangan kepada Cikgu Md. Zain bin Kadrai yang menghulurkan seringgit dua puluh sen. Wang itu kami kongsi bertiga. Aku teringat teori Abraham Maslow yang mengatakan keperluan di bawah adalah keperluan utama kita. Aku mengakuinya apabila kami lebih mengutamakan keperluan untuk mengisi perut daripada penghargaan yang diterima.
         
               
           





 

BAB 3

REMAJA

Selamat tinggal aku ucapkan kepada Sekolah Kebangsaan Gedangsa yang telah memberi aku pelbagai kenangan dan pengalaman untuk aku meneruskan kehidupan. Kini aku bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Soeharto.  Setiap hari pasti aku dan kawan-kawanku akan berhimpit-himpit di dalam bas yang sentiasa penuh dengan manusia. Jarak antara rumah dengan sekolah ketika itu kira-kira 6 batu. Kalau dalam kilometer bermakna lebih kurang 9 kilometer. Pernah beberapa kali kami terpaksa berjalan kaki sekiranya bas tersebut rosak. Walaupun jauh berjalan namun kami tetap gembira kerana memperoleh ilmu di sekolah. Pada tahun 1979, aku menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Kalau sekarang dikenali sebagai Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Keputusan peperiksaan yang agak baik membolehkan aku meneruskan pembelajaran di sekolah berasrama iaitu  Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Inggeris, Kuala Kubu Bharu yang kini bertukar nama menjadi Sekolah Menengah Dato’ Hj. Kamaruddin, Kuala Kubu Bharu pada tahun 1980 hingga 1981. Asrama sekolah ini hanya menempatkan pelajar lelaki sahaja. Walaupun tinggal di asrama namun, perbelanjaan yang diberikan oleh bapaku tidak mencukupi. Aku memahami kesempitan hidup yang dialami oleh keluargaku. Kebiasaannya, bapaku hanya memberi wang untuk bayaran makan asrama sahaja. Sekiranya ada baki pun lebih kurang RM 10.00 sahaja. Wang baki tersebutlah yang akan aku gunakan untuk membeli peralatan menulis, sabun, ubat gigi dan sebagainya. Ketika ini aku sudah tidak menggunakan papan tulis lagi. Duniakan semakin berubah.  

           Guru aku ada berpesan “Orang yang berilmu dan menghormati guru serta ibu bapa merupakan satu adab yang cantik dan perlu kita perhalusi”. Tapi, semakin lama aku fikirkan, aku dapat rasakan adab inilah yang semakin lama sudah semakin luntur dalam masyarakat kita. Semasa sekolah dulu, aku ni bolehlah dikatakan pendiam juga. Hendak bercakap dengan guru pun aku malu.Tapi kawan-kawan aku pasti tidak mempercayainya sebab mereka lihat aku seorang yang mesra dan mudah senyum. Di asrama aku dikenali sebagai Mat Senyum kerana aku tidak lokek menghadiahkan senyuman kepada sesiapa sahaja.

Aku berasa pelik sebab ada pelajar yang sangat akrab dengan guru. Manis betul tutur kata mereka. Aku menyatakannya di sini sebab, aku ada seorang kawan yang sangat baik dengan guru sehingga boleh diistilahkan sebagai ‘kamcing’ dengan guru. Tidak salah jika kita baik dengan guru sehingga tahap seperti kawan akrab. Tetapi, adalah salah jika kita tidak beradab dan kurang ajar kepadanya. Akhir sekali, kawan aku itu menghancurkan keakraban mereka. “Mana boleh tutup bangkai gajah dengan daun pisang”.

Semasa aku Tingkatan 4 dan 5 dulu, aku telah di tempatkan ke aliran Sains. Tapi aku lebih berminat dengan mata pelajaran sastera. Aku masuk juga kelas Sains walaupun ada cikgu yang memujuk aku ambil mata pelajaran sastera. Walaupun aku tidak berminat dengan mata pelajaran Sains tetapi aku teruskan juga. Aku masih ingat lagi ada kawan-kawan aku yang punyalah kurang ajar dengan cikgu semasa di dalam kelas. Tak sangka masih ada lagi manusia pelajar yang macam tu. Cikgu perempuan...biasalah. Hujan air mata. Ramai cikgu kecewa, sedih, hampa dan terkilan dengan kenakalan mereka. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah aku duduki pada tahun 1981. Rasa risau pasti ada. Namun tidak pernah pun sesekali aku membuatkan hati guruku terguris. Aku percaya, sesungguhnya penyampaian ilmu itu ada hubung kaitnya dengan hati. Guru terguris hati terhadap pelajarnya akan menyebabkan ilmu seseorang pelajar itu akan terganggu.  Mungkin sahaja si pelajar berjaya meraih kecemerlangan dalam peperiksaan. Tetapi sikap biadap terhadap guru memungkinkan mereka membawa ilmu yang tidak barakah. Pelbagai perkara boleh terjadi. Paling kurang, di akhirat nanti dia akan dipersoalkan oleh Allah SWT akan adabnya terhadap guru. Aku berdoa kepada ALLAH SWT supaya aku tidak mengguris hati guruku. Amin.


BAB 4

ALAM PEKERJAAN

Beberapa hari selepas tamatnya peperiksaan SPM, aku membulatkan tekad ke Kuala Lumpur. Aku bertekad membantu keluargaku. Semasa di Kuala Lumpur, aku bekerja di restoran. Ketika itu gaji yang ditawarkan kepada aku hanyalah RM 100.00 sahaja. Aku menerima pekerjaan tersebut kerana majikanku menyediakan tempat tinggal dan makanan. Dapatlah aku berjimat dengan gaji tersebut. Walaupun kami berhimpit-himpit tinggal di loteng restoran namun, kami hidup seperti adik beradik. Manakan tidaknya, ruangan yang kecil itu mampu memuatkan kira-kira 10 orang dewasa. Macam ‘sardin’ pun ada. Akhirnya aku berhenti kerja untuk pulang ke kampung. Keputusan peperiksan SPM bakal diumumkan.

            Saat-saat yang mendebarkan tiba jua. Keputusan peperiksaan SPM diumumkan. Sepanjang malam aku tidak lena tidur. Pagi itu, aku terduduk di hujung kelas. Hampa. Aku hanya mendapat Pangkat 3. Kekecewaan itu menyebabkan membawa diri ke Pahang. Aku diterima bekerja di FELDA Lepar Utara. Pada masa itu peneroka FELDA tersebut belum melaporkan diri. Ketika itu aku seolah-olah berada di Jakarta, Palembang, Jogjakarta mahupun Pulau Jawa kerana semua kawan-kawanku merupakan pekerja dari Indonesia. Mereka tinggal di ‘rumah kongsi’ di tepi sungai manakala aku pula tinggal di rumah abangku Mohamad Rusdan yang merupakan kakitangan FELDA.  Ketika itu, gaji yang diberikan kepada aku sekitar RM 6.00 atau RM 7.00 dan dibayar berdasarkan hari bekerja. Sepanjang berada di sana, aku telah diarahkan melakukan pelbagai tugasan daripada menabur baja hinggalah meletakkan umpan tikus. Aku hanya berkhidmat di FELDA Lepar Utara sehingga hujung tahun 1982.

            Pada tahun 1983, aku kembali ke FELDA Gedangsa. Setiap pagi, aku bersiap untuk menoreh getah manakala pada waktu petang aku mengambil upah memetik kelapa sawit.  Ibarat  bulan  jatuh  ke riba   apabila   permohonan  aku  sebagai ‘guru sementara’ diterima. Syukur Alhamdulillah kerana pada 4 Julai 1984 aku mula berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Changkat Bintang, Hulu Selangor. Sekolah ini merupakan sekolah yang pelajarnya terdiri daripada orang asli. Setiap hari aku pasti akan melalui ladang kelapa sawit iaitu  Ladang 15, Hulu Selangor. Dengan jarak sejauh 12 batu dari rumah, aku menunggang motosikal Honda 90 cc. berwarna biru hadiah daripada ayahku. Suhu dingin saban pagi, permukaan jalan bertanah merah, binatang buas yang kadang kala memunculkan diri dan banjir ketika hujan merupakan asam garam aku sepanjang berkhidmat di sekolah ini.  Bangunan kayu yang menempatkan dua bilik darjah dan sebuah bilik guru selain tidak memiliki apa-apa kemudahan lazimnya bagi sekolah termasuk padang atau bilik sumber sudah seakan-akan lali dengan diriku.

Perkampungan orang asli ini hanya dihuni oleh 15 buah keluarga dari suku Semai. Ia terletak di tepi Sungai Bernam yang merupakan sempadan di antara Negeri Selangor dan Negeri Perak. Pekan terdekat ialah Slim River, Perak. Jika tiada kenderaan darat, mereka akan bersampan menyusuri Sungai Bernam sehingga ke Kg. Kuala Slim dan dari situ mereka menaiki bas ke pekan. Walaupun mereka hidup dengan penuh kedaifan namun layanan mereka terhadap aku amat baik terutamanya Tok Batin Ngat yang merupakan ketua penduduk di sini. Perasaan hormat mereka terhadap insan bergelar guru juga amat tinggi.

             Aku masih ingat lagi apabila hampir semua muridku membawa buah-buahan ke sekolah ketika musim buah-buahan. Longgokan buah durian yang seperti busut itu diberikan oleh mereka untuk aku dan seorang lagi rakanku. Biasalah, sekolah kurang murid. Hanya dua orang guru dan 40 pelajar sahaja. Keadaan yang mendesak kerana kedaifan hidup ini mendorong anak-anak membantu ibu bapa masing-masing mencari rezeki termasuklah ketika hari persekolahan. Keadaan itu membuatkan masalah ponteng sekolah adalah perkara biasa dan lebih teruk lagi, terdapat ibu bapa yang tidak sanggup untuk meneruskan persekolahan anak-anak mereka.


Akhbar Utusan Malaysia keluaran 1 Mac 2010 mengingatkan aku dengan pengalaman yang pernah aku lalui. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi telah melakukan lawatan ke sekolah  pedalaman.  Beliau  diberi  tugas  menjaga   kebajikan   dan   keperluan   sekolah- sekolah di pedalaman seterusnya merasai sendiri pengalaman tersebut. Usaha kerajaan ini merupakan satu cara untuk merapatkan jurang penddidikan antara bandar dengan luar bandar tidak pernah terhenti serta dilakukan dengan pelbagai cara dan pendekatan..

            Sesungguhnya pengalaman ini mengingatkan aku bahawa guru-guru yang berdedikasi sentiasa berada di mana-mana. Mereka sentiasa menjadi wira yang tidak diraikan dalam dunia pendidikan justeru pengalaman tersebut menguatkan lagi tekad aku untuk meningkatkan profesionalisme keguruan.

            Pada 5hb. April, 1987, aku telah diterima mengikuti Kursus Dalam Cuti (KDC) di Maktab Perguruan Ipoh Perak, Hulu Kinta (MPIP).  Ini bermakna, setiap cuti persekolahan aku akan mengikuti KDC. Keadaan ini menyebabkan aku terpaksa meninggalkan Sekolah Kebangsaan Changkat Bintang. Mulai 4hb. Mei,1987 aku ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Kg. Soeharto yang jaraknya kira-kira 6 batu dari Gedangsa.

            Dari awal Desember,1989 hingga akhir Mei, 1990  aku menghabiskan KDC aku yang berbaki enam bulan di Institut Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (IPSI).

Betul kata orang ‘jauh perjalanan luas pemandangan’. ‘Kalau dah jodoh takkan ke mana’. Semasa mengikuti KDC, seorang gadis genit dan ayu mula menambat hatiku. Suzana Osman yang ketika itu berkhidmat di Pejabat Setiausaha Negeri Perak benar-benar menyentap hatiku. Dari usik-mengusik dan lirikan mata akhirnya aku mengambil keputusan menyunting bunga pujaan hatiku itu. 31 Ogos 1990 merupakan tarikh keramat kami disatukan. Syukur alhamdulillah kerana aku mempunyai seorang isteri yang setia ketika kami susah dan senang sehingga sanggup meletakkan jawatan semata-mata untuk bersama aku membina keluarga bahagia. Sehingga 2012 ini kami telah dikurniai dengan enam orang anak yang meningkat dewasa. Farah Adibah, Farah Afiqah, Muhamad Adib, Muhamad Afiq, Muhammad Amir dan Muhammad Aris.

Selepas tamat latihan, aku berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Sg Tengi, Hulu Selangor. Aku mula menabur bakti di sekolah ini pada 1hb. Jun,1990. Bapaku yang mula dimamah usia dan sering merosot kesihatannya mendorong aku memohon pertukaran  ke Sekolah Kebangsaan Gedangsa. Pada 1hb. Julai,1993 aku mula berkhidmat di sekolah yang pernah aku belajar dahulu. Sekolah Kebangsaan Gedangsa. Aku tinggal di rumah guru yang disediakan berhampiran sekolah. Jarak yang dekat ini membolehkan aku melawat bapaku setiap hari.

Al-Fatihah buat Allahyarham bapaku, Sadri bin Jasmin apabila menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 11hb.Ogos,1995 hari Jumaat. Seisi keluarga berasa kehilangan ayanhanda tercinta kami. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam golongan orang beriman. Amin.




BAB 5
CABARAN

Aku meninggalkan Sekolah Kebangsaan Gedangsa setelah berkhidmat selama 18 tahun 5 bulan 15 hari. Satu jangka masa yang lama. Di Sekolah Kebangsaan Sri Keledang, aku ditugaskan sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum. Disamping mengajar, aku menjalankan tugas-tugas pentadbiran. Tugas yang aku rasa amat mencabar. Apa yang membanggakan aku ialah aku berjaya menyambung pelajaranku di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tg. Malim. Universiti terunggul di Malaysia yang melahirkan pendidik yang berwibawa. 


Ramai kawan-kawan sekolahku yang sudah berjaya sekarang. Ada di antaranya menjadi orang besar di beberapa kementerian dan sektor swasta. Ramai juga yang menjadi pensyarah dan ada yang sudah bergelar profesor. Ada juga yang sudah dianugerahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Dato'. Bagi aku itu adalah rezeki mereka atas usaha yang mereka lakukan. Aku.... mungkin tempatku di sekolah bersama anak-anak muridku.

             Walau bagaimanapun, minat aku dalam bidang penulisan masih tinggi. Beberapa kali, aku mengikuti kursus penulisan bagi memantapkan diriku dalam bidang penulisan. Karya seperti cerpen dan puisi aku bukukan dan menjadi bahan bacaan aku dan anak-anakku. Aku percaya, penulisan yang aku hasilkan bakal menjadi motivasi kepada anak-anakku memperoleh kecemerlangan.

Selama aku menjadi guru, pelbagai pengalaman yang telah aku lalui. Terdapat pelajar yang masih tidak boleh membaca dan ada juga pelajar yang terlalu pasif ketika berada di sekolah. Kadang kala aku memikirkan adakah cara pengajaran aku salah? Tetapi setelah menganalisis perlakuan para pelajar aku dapati pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas mestilah berkesan. Pengajaran yang aku lakukan juga bersesuaian dengan umur pelajar yang aku ajar. Misalnya aku ada terbaca bahawa Piagetian atau pengikutnya sangat menentang idea menjadikan pemikiran kanak-kanak seperti orang dewasa. Jadi, beliau tidak bersetuju supaya perkembangan kognitif kanak-kanak dipercepat melalui kaedah tertentu. Mereka berpegang teguh kepada pendapat bahawa pengajaran ‘premature’ atau pengajaran dipaksa kepada kanak-kanak yang belum sampai kepada tahap-tahap tertentu, tidak akan bersedia untuk menerima ilmu atau pengajaran dan kesannya lebih buruk dari tiada pembelajaran sebab kanak-kanak akan menerima secara superficial formula cara berfikir orang dewasa dan bukan pemahaman sebenar mengenai sesuatu perkara.

Sebenarnya, keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas bergantung kepada rancangan pengajaran guru berlandaskan kepada peringkat perkembangan pelajar. Strategi pengajaran  hendaklah sesuai dengan perkembangan kanak-kanak tersebut. Teori Kognitif Piaget misalnya berfokus kepada idea memperkembang pendidikan yang sepadan dan bersesuaian dengan kebolehan kogniti dan fizikal pelajar-pelajar. Idea beliau mempengaruhi persekitaran pembelajaran, kurikulum, bahan, dan metodologi pengajaran. Teori dan kajian beliau dianggap evergreen iaitu yang sesuai sepanjang zaman. Piaget menggalakkan pelajar memainkan peranan penting dan melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran. Tindakan guru sebagai pemindah pengetahuan tidak digalakkan sebaliknya pelajar perlu meneroka dan mendapatkannya sendiri pengetahuan melalui interaksi dengan persekitaran (Ramlah & Mahani 2004).

Selain itu, ada juga pelajar tidak suka membuat tugasan yang diberikan oleh guru. Berbagai-bagai alasan yang diberikan. Terdapat juga pelajar yang mengantuk ketika sesi pengajaran dan pembelajaran. Mungkin pelajar tidak mengetahui betapa susahnya guru itu bersiap sedia untuk mengajar. Kita hanya memikirkan diri kita sahaja. Komen itu dan ini tentang guru. Mengajar tak seronoklah, bosanlah, mengantuklah dan macam-macam lagi.  Tapi, pernahkah kita terfikir betapa penatnya guru-guru menyiapkan  diri untuk mengajar? Bahan pengajarannya, persediaan jawapan kepada soalan yang mungkin ditanya oleh pelajar dan bagaimana mana nak tarik perhatian pelajar. Bayangkan, mesti guru rasa sia-sia kalau pelajar tidak hargainyakan?

Walaupun aku pernah memegang jawatan sebagai Guru Disiplin tetapi tidak pernah sekalipun tangan ini hinggap ke muka para pelajar aku. Kadang kala ada juga perasaan marah tetapi sebagai guru sudah semestinya aku berpegang kepada etika perguruan. Di dada-dada akhbar, makalah dan sebagainya jelas memaparkan kepada kita  gaya masyarakat sekarang apabila anak kena rotan di sekolah jawabnya jumpa di mahkamah atau ‘SEE U IN COURT. Jika anak didenda pula ibu bapa menyerang sekolah. Bawa peguam yang berwibawa membela anak mereka. Guru juga yang bersalah.

Walaupun anak mereka yang melakukan kesalahan. Bukan itu sahaja. Banyak lagi kes berkaitan dengan guru. Walaupun ini hanya segelintir tapi seolah-olah sudah menjadi satu gaya hidup zaman sekarang. Maklumlah ibu bapa dah berpelajaran. Guru juga ada perasaan. Mencari rezeki. Tanggungjawab membentuk disiplin pelajar bukan hanya terletak pada bahu guru sahaja. Semua pihak perlu berganding bahu termasuklah ibu bapa dalam menangani isu. Selama ini semua guru tak pernah mengenal erti penat mengajar kita. Mengajar sampai berjaya.

Pendedahan-pendedahan salah laku guru boleh mengakibatkan kewibawaan profesion perguruan tergugat pada mata umum. Guru perlu mempunyai tatasusila yang tinggi dan berkomitmen menjalankan tugas sebagai pendidik yang baik.  Penyataan ikrar dan kod etika perguruan memperlihatkan betapa guru sesungguhnya mempunyai beban yang berat untuk dilaksanakan bagi melahirkan modal insan yang berketrampilan dan berkualiti.

Sebagai seorang guru juga adalah penting terlebih dahulu memahami konsep pertumbuhan dan perkembangan berdasarkan teori Piaget, Gesell, Havinghurst, Erikson dan Kohlberg. Selain itu juga, sebagai guru perlu memahami kecerdasan pelbagai (Multiple Intelligences) dan cara untuk mengaplikasikan Multiple Intelligence dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru juga perlu mengetahui konsep motivasi dan cara-cara meningkatkan motivasi dalam kalangan pelajarnya serta implikasi perbezaan individu di antara pelajar kepada guru. Bagi pelajar yang nakal, aku doakan mereka berjaya dan mendapat kecemerlangan akademik.

Pelajar sebenarnya suka dengan maklum balas positif seperti pujian. Abdullah Hassan & Ainon Mohd. (2006: 80) menyatakan bahawa maklum balas mempunyai pengaruh yang kuat ke atas motivasi seseorang untuk megukuhkan lagi sikap, tabiat, tingkah laku, perbuatan dan daya usahanya. Perbuatan buruk pun, apabila dipuji boleh mendorong orang itu mengulangi perbuatan buruknya. Sebaliknya maklum balas negatif mempunyai kesan negatif ke atas motivasi, sikap, tingkah laku, perbuatan dan daya usaha murid yang menerima maklum balas negatif itu. Perbuatan baik pun, apabila dikritik boleh menyebakan murid itu tidak mahu mengulangi perbuatan baiknya lagi.

Untuk menjadi guru yang berjaya dalam bidang tugasnya, ramai guru kita terlupa satu perkara. Sebenarnya setiap guru bukan sahaja harus lengkap dengan ilmu, kaya dengan pedagogi malah harus juga ada pengetahuan psikologi. Hal ini demikian kerana guru berhadapan dengan pelajar yang masih muda berumur antara 6 hingga 18 tahun. Dalam lingkungan umur begini, pelajar-pelajar ini perlukan perhatian dan kasih sayang.

Tetapi dalam memenuhi keperluan pelajar ini, ada segelintir ibu bapa yang sering mencari kesalahan guru. Apabila  pelajar gagal, guru yang dimarahnya. Apabila pelajar lulus dengan cemerlang dikatanya pula dia berusaha sendiri belajar dengan tekun. Pernah aku terdengar seorang ibu menyatakan “Syukurlah cikgu. Tak sia-sia SAYA nasihatkan anak saya. Tuisyenkan dia”. Guru? Adakah guru tiada usaha? Di manakah penghargaan seorang guru?

 Wahai anak-anakku, maka adalah perlu kita menundukkan diri menghormati guru yang telah berjaya mendidik kita. Sesungguhnya, tanpa jasa mereka berpenat lelah melayan karenah kita, mendidik mengasuh ilmu di dalam pemikiran kita, maka sesungguhnya kita tidak punya apa-apa. Oleh hal yang demikian, adalah perlu kita mengambil peluang, selagi mana wujud untuk meneguk ilmu daripada mereka yang mengetahui. Sesungguhnya, pada ilmu itu terdapat cahaya untuk membuka jiwa kita. Tetapi di mana hendak mencari ilmu? Jawabnya kepada guru.

Kita boleh belajar sendiri, tetapi dengan adanya guru, ilmu kita akan menjadi lebih cantik dan bersih. Tambah cantik jika kita memperbanyak guru kita, agar pandangan kita menjadi luas dan mampu bersikap adil. Siapakah yang mendidik kalian untuk menulis dan membaca penulisan aku ini?

Sendirikah?
“Aku belajar membaca dengan ibu ayah aku, aku belajar menulis dengan ibu ayah aku, aku belajar dengan guru-guru aku”
Maka ibu ayah kamu itu juga adalah guru. Guru sememangnya seorang guru.

 

Memang tidak dinafikan pada peringkat sekolah, pelajar serta ibu bapa tidak melepaskan peluang untuk menyatakan penghargaan dengan memberikan cenderamata kepada guru kesayangan mereka. Apa yang penting bukanlah nilai hadiah yang diberikan, tetapi hadiah tersebut menjadi tanda ingatan dan simbolik penghargaan pelajar terhadap jasa guru yang mengajar mereka selama ini. Amalan itu merupakan nilai murni yang harus dipupuk, ditanam dan disuburkan dalam jiwa setiap pelajar sejak kecil. Jika ia terus menjadi amalan, kita yakin perasaan kasih terhadap guru mereka akan terus subur sehingga mereka meninggalkan alam persekolahan.

 

Sikap memuja dan mengagungkan golongan tertentu secara berlebihan sehingga menyebabkan mereka lupa terhadap golongan yang lebih banyak berjasa dalam mendidik sehingga lahir sebagai insan kamil dan berjaya tidak harus menjadi budaya. Guru sebenarnya tidak mengharapkan sebarang ihsan atau balasan daripada anak didik mereka. Apa yang akan membanggakan mereka dan rasa dihargai adalah kejayaan anak didik dalam pelajaran dan keluar menjadi manusia berguna kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara.

 

Guru biasanya tidak mudah lupa dengan bekas pelajarnya yang berjaya walaupun setelah beberapa tahun meninggalkan alam persekolahan, sebaliknya pelajarlah yang sering lupa terhadap jasa dan pengorbanan mereka. Renung-renungkanlah.


EPILOG


Guru juga manusia. Manusia mana yang tidak punya silap? Tetapi kita sebagai anak muridnya perlu berlapang dada. Menerima seadanya. Hal ini demikian kerana, guru memberikan manfaat kepada kita dan sabar memberikan ilmu. Ingatlah, sejahat-jahat guru pada tanggapan kita, selagi mana dia menumpahkan ilmu, maka adalah perlu untuk kita menghormatinya. Jika hendak menegur bukan tidak boleh, tetapi tetap perlu ada adabnya. Orang Melayu kan memang kaya dengan adab.

Tahun demi tahun. Kejayaan sudah dalam genggaman. Setinggi mana pun kita capai pada usia dewasa kita, ingatlah betapa ada guru yang selama ini mendidik kita.  
 
Betapa bijak pun akal kita, ingatlah ada guru yang membimbingnya. Aku tidak nampak ruang dan sebab untuk seseorang pelajar mendabik dada kepada gurunya. Malah aku kira, kalau hubungan antara murid dan guru ini baik, maka akan terhasil satu sinergi yang cantik. Tetapi adab dengan guru mestilah dijaga. Janganlah mengambil kesempatan atas keakraban ini. Hubungan yang rapat antara guru dengan pelajar pasti memberikan perkongsian ilmu yang lebih luas dan kedahagaan kepada ilmu yang lebih tinggi. Tiada ruginya menghormati guru. Yang merugikan hanya yang tidak mengambil peluang bersama guru mereka.

Tiba-tiba, aku masih teringat seorang guru menceritakan tentang tokoh yang menghormati guru iaitu Sultan Muhammad Al-Fateh. Seorang manusia yang hebat dalam sejarah insan, seorang genius perang yang berjiwa gigih. Pada umur 23 tahun, dia telah berjaya menawan Kota Konstantinopel yang kukuh. Pada peperangan yang sengit itu, dia telah membawa gurunya bersama-sama untuk membimbingnya. Malah pada saat peperangan sedang getir dan kemuncak, dia merayu supaya gurunya mendoakannya. Sedangkan dia mempunyai ilmu perang yang genius, ketenangan yang tinggi, peralatan yang cukup untuk merobohkan Kota Konstantinopel. Namun dia masih merendah diri.
Kita?
           
Bagi ibu bapa pula, rasa hormat kepada guru harus sentiasa ditanam dalam jiwa mereka agar perasaan ini menjadi contoh dan ikutan anak masing-masing supaya tidak bersikap biadap terhadap guru. Setiap ibu bapa yang tahu menghormati dan menghargai jasa guru, tidak mungkin menyemai sifat benci terhadap guru dalam jiwa anak-anak, tidak kira apa bangsa sekali pun.
           
            Jika mereka sanggup menyerahkan amanah mendidik anak mereka kepada guru, tiada sebab ibu bapa curiga dengan keikhlasan guru dalam melaksanakan tanggungjawab. Tidak ada guru yang mahu melihat anak didiknya gagal, sebaliknya merekalah orang paling bangga dan gembira apabila anak didik mereka berjaya .

             Jutaan terima kasih juga kepada semua guru yang mendidikku dan anak-anakku.. Terima kasih kepada semua guruku di SKG, SMKKS, dan SMJK(I) KKB (SMKDHK KKB) kerana meletakkan aku seperti ini. Terima kasih kepada semua pensyarahku di MPIP, IPSI dan UPSI. Terima kasih kepada ibubapa, isteri, anak-anak adik-beradik dan seluruh keluargaku. Terima kasih kepada rakan-rakan yang banyak membantu segala tugasku.

Terima kasih semua. Hanya Allah jua yang dapat membalas budi baik kalian.



*ralat1: 01.08.2014 aku telah dilantik menjadi Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di sekolah yang sama (SK Sri Keledang)

*ralat2: 18.07.2016 aku telah dilantikmenjadi Guru Penolong Kanan Pentadbiran di sekolah sebelum ini (SK Gedangsa)