Thursday 13 December 2012

antara adat dan agama

Antara adat dan agama


majlis perkahwinan seringkali menimbulkan situasi berbelah bahagi, sama ada mendahulukan agama atau memelihara adat. - Gambar hiasan

SESUATU yang dikerjakan, dilakukan atau diucapkan berulang kali, sehingga dianggap baik dan diterima akal sihat disebut adat (atau dalam bahasa Arab 'adah). Istilah lain ialah 'urf, yang diertikan sebagai yang dikenal dan dianggap baik. Menurut sebahagian ulama, ada perbezaan antara 'adah dengan urf'.
'Adah adalah kebiasaan dalam suatu perbuatan atau perkataan tanpa hubungan rasional dan bersifat peribadi, seperti kebiasaan tidur, makan dan lain-lain.

Adapun 'urf' adalah kebiasaan sebahagian besar masyarakat, baik dalam perkataan mahupun perbuatan.
Istilah adat dalam bahasa Melayu lebih dekat dengan pengertian 'urf dalam bahasa Arab, bukan adah'.
Adat menduduki posisi penting dalam Islam kerana dapat dijadikan dalil dalam menetapkan hukum.

Adat bersendi syarak
Salah satu bukti pertautan antara adat dengan agama Islam adalah dasar falsafah adat Minangkabau yang berbunyi: "Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah."
Falsafah tersebut bererti adat bersendikan syariat (ajaran agama) dan syariat bersendikan kitab Allah SWT (al-Quran).

Adat dalam hadis
Ada banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW yang mengakui adanya adat suatu masyarakat.
Misalnya kebiasaan jual beli pada zaman pra-Islam dalam riwayat Ibnu Abbas, ketika Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah, baginda melihat penduduk setempat berjual beli dengan memesan barangan yang belum ada.

Baginda bersabda yang bermaksud: Siapa yang melakukan jual beli pesanan, maka hendaklah ditentukan jumlah, sukatan dan jangka waktunya. (riwayat Bukhari)
Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, penduduk kota itu telah memiliki kebiasaan melakukan jual beli dengan cara memesan barang yang belum ada.

Dalil hukum
Para ulama usul fiqh sepakat bahawa adat yang tidak bertentangan dengan syariat Islam dapat dijadikan dalil dalam menetapkan hukum Islam.

Hal ini didasarkan kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesuatu yang dipandang baik oleh kaum Muslim, maka di sisi Allah juga baik." (riwayat Ahmad)
Oleh kerana itu, dalam menetapkan suatu hukum, ulama harus terlebih dahulu meneliti kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat setempat, sehingga hukum yang ditetapkan tidak bertentangan atau menghilangkan kemaslahatan masyarakat tersebut.

Al-'adah muhakkamah
Salah satu kaedah fikah yang terkenal adalah al-'adah muhakkamah, yang bererti adat kebiasaan itu dapat dijadikan landasan hukum. Kaedah fikah ini dirumuskan oleh para ulama usul fiqh untuk menegaskan kesan adat sebagai alasan bagi penetapan hukum.

Daripada kaedah ini, muncul kaedah lain untuk mengukuhkan kebenaran penggunaan adat sebagai dasar hukum, seperti al- ma'ruf 'urfan ka al- masyrut syartan (yang baik itu menjadi kebiasaan, sama halnya dengan yang disyaratkan itu menjadi syarat).

'Urf amali
Berbeza dengan 'urf lafzi yang diucapkan, 'urf amali hanya berkaitan dengan perbuatan dan tidak perlu menggunakan kata-kata tertentu.
Seseorang yang ingin membeli suatu barang, tidak perlu mengucapkan akad, cukup mengambil barang lalu membayarnya dengan sejumlah wang.
Contoh 'urf amali ialah kebiasaan jual beli di kedai layan diri.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121211/ba_01/Antara-adat-dan-agama#ixzz2EvhNUkff
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment